Beberapa minggu yang lalu, Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan generasi ke-12 mereka, Alder Lake yang hadir dengan sokongan untuk memori DDR5 dan juga teknologi PCIe 5.0 yang terbaru. Teknologi ini dilihat boleh dilihat pada papan induk siri Intel Z690 yang turut dilancarkan bersama-sama siri CPU Intel Core K.
Maklumat kini telah tertiris yang mengatakan bahawa papan induk kelas pertengahan Intel B660 yang menyokong siri CPU Intel baru ini tidak akan hadir dengan sokongan untuk PCIe 5.0. Perkara ini diketahui apabila seorang pengulas komponen nampaknya telah diberikan sebuah papan induk Intel B660 ini secara silap, dan butiran mengenainya diperlihatkan pada kotak papan induk tersebut.

Setakat ini, ia hanya dilihat bahawa papan induk ini sahaja disahkan tidak akan hadir dengan sokongan teknologi tersebut, sama seperti ura-ura yang mengatakan akan ada papan induk yang tidak akan menyokong memori DDR5 yang terbaru juga.
Ini tidak mengejutkan sekiranya benar kesemua papan induk ini hanya akan menyokong DDR4 dan PCIe 4.0 kerana secara teknikalnya, papan induk Intel B660 ini dibangunkan untuk menjadi pilihan lebih mampu milik berbanding dengan papan induk Intel Z690 yang memiliki sokongan untuk kesemua teknologi baru yang diperkenalkan melalui Alder Lake.
Sumber: VideoCardz