ASUS dijangka akan memperkenalkan sejumlah komputer riba gaming berkuasa yang baru di acara Consumer Electronics Show pada tahun hadapan, dan baru-baru ini, butiran untuk salah satu komputer riba paling berkuasa mereka, yang dinamakan ASUS ROG Strix Scar 15 G533Z telahpun tertiris.
MyLaptopGuide melaporkan bahawa menurut pemfailan kepada FCC, butiran rekaan rangka bawah dan juga komponen komputer riba ini telah diperlihatkan. Dari segi rekaan, kita dapat lihat ia hadir dengan rekaan rangka bawah dengan lubang penyejuk yang cukup menarik sekali dimana ASUS nampaknya memaksimakan penggunaan lubang angin untuk mengalirkan haba dengan lebih banyak dan cekap.

Tetapi aspek yang paling menarik mengenai komputer riba ini hadir melalui komponen-komponen yang ditawarkan. Ia dilengkapi dengan CPU AMD Ryzen 9 6900HX yang belum diumumkan lagi yang menggunakan cip pemprosesan Zen 3 dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080 Ti untuk komputer riba yang juga belum diperlihatkan lagi.
Dalam pada itu, komputer riba ini juga dijangka merupakan diantara komputer riba pertama yang hadir dengan sokongan untuk DDR5, berdasarkan spesifikasi yang tertiris yang mengatakan bahawa ia akan dilengkapi memori DDR5 bersaiz 32GB.

Dari segi penawaran paparan pula, komputer riba ini dilihat hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 15.6 inci dengan resolusi QHD pada resolusi 165Hz.
Seperti yang dikatakan, komputer riba ini dijangka akan diperlihatkan oleh ASUS di acara CES 2022 yang akan berlangsung di Las Vegas pada tahun hadapan.
Sumber: MyLaptopGuide