Perkhidmatan penstriman NVIDIA GeForce Now diperkenalkan untuk membolehkan mereka yang tidak memiliki komputer gaming yang berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan kegemaran mereka tanpa memerlukan komputer tersebut.
Baru-baru ini, ia telah diperlihatkan bahawa untuk pengguna Priority perkhidmatan ini, yang sepatutnya boleh menstrim permainan-permainan komputer yang ditawarkan pada resolusi Full HD dan kadar segar semula 60FPS mendapati bahawa mereka hanya boleh menstrim beberapa permainan pada kadar segar semula yang lebih rendah daripada apa yang dijanjikan.

NVIDIA GeForce Now kini menawarkan sekitar 1100 permainan komputer yang boleh distrim, dan baru-baru ini mengesahkan bahawa sejumlah kecil daripada permainan-permainan tersebut, seperti Guardians of The Galaxy dan Cyberpunk 2077 tidak boleh diolah dan distrim pada kadar segar semula tersebut kerana komputer yang digunakan tidak cukup berkuasa untuk mengolah permainan-permainan ini pada kadar segar semula tersebut.
NVIDIA juga dilihat mengumumkan senarai permainan-permainan ini, yang terkandung dibawah nama Optimum Playable Settings, yang memperlihatkan kadar segar semula sebenar permainan-permainan ini apabila digerakkan pada resolusi Full HD ini.
NVIDIA turut mengesahkan bahawa perkara ini hanya tertakluk kepada pelanggan pelan GeForce Now Priority, dan mereka yang melanggan pelan RTX 3080 tidak akan ada masalah untuk menstrim permainan pada resolusi 1440p dan kadar segar semula 120FPS seperti yang dijanjikan.
Sumber: NVIDIA