Intel baru-baru ini telah melancarkan sejumlah model cip pemprosesan terbaru mereka, Alder Lake yang mana kesemuanya adalah siri Core-K yang hadir dengan kemampuan untuk dilewahjam dengan menggunakan papan induk Intel Z690.
Sedikit butiran mengenai papan induk Intel B660 telah tertiris pada minggu lepas, dimana sejumlah daripadanya tidak akan hadir dengan sokongan untuk PCIe 5.0, dan terkini, butiran mengenai model-model CPU yang lain juga nampaknya telah tertiris ke arena internet.
Laman web menjual komputer Dospara daripada Jepun nampaknya telah mempelihatkan spesifikasi kepada sejumlah model CPU Intel Core KF dan Core F, yang mana kedua-dua model ini tidak hadir dengan penawaran grafik Intel Xe terbina.
Perbezaan yang paling ketara dapat dilihat melalui penawaran Intel Core i5-12600K/12600KF dan Intel Core i5-12600/12600F dimana penawaran teras diantara model K dan nir-K diturunkan dari 12 teras dan 16 bebenang kuasa ke 6 teras dan 12 bebenang kuasa.
Dalam pada itu, ia juga dapat diperlihatkan bahawa perbezaan kelajuan CPU diantara model K dan nir-K agak berbeza juga, dengan model yang belum dilancarkan hadir dengan kelajuan lebih perlahan.
Dalam pada itu, Fanless Tech, laman web teknologi yang memfokuskan kepada berita mengenai komponen komputer yang tidak memerlukan kipas penyejuk juga mengatakan bahawa Intel akan melancarkan siri cip pemprosesan Alder Lake-T yang hadir dengan keperluan kuasa 35W sahaja, yang mana ia dijangka akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan, mungkin di acara Consumer Electronics Show.
Perbezaan diantara penawaran teras dan bebenang kuasa HyperThreading untuk siri CPU ini juga dapat dilihat jauh berbeza dengan apa yang ditawarkan melalui CPU Alder Lake yang telah dan akan dilancarkan.
- i9-12900T 16 (8+8) 24T 30MB L3 sehingga 4.9GHz UHD Graphics 770
- i7-12700T 12 (8+4) 20T 25MB L3 sehingga 4.7GHz UHD Graphics 770
- i5-12600T 6 (6+0) 12T 18MB L3 sehingga 4.6GHz UHD Graphics 770
- i5-12500T 6 (6+0) 12T 18MB L3 sehingga 4.4GHz UHD Graphics 770
- i5-12400T 6 (6+0) 12T 18MB L3 sehingga 4.2GHz UHD Graphics 730
- i3-12300T 4 (4+0) 8T 12MB L3 sehingga 4.2GHz UHD Graphics 730
- i3-12100T 4 (4+0) 8T 12MB L3 sehingga 4.1GHz UHD Graphics 730
Penggunaan CPU berkuasa rendah ini dijangka akan memperlihatkan komputer-komputer bersaiz kecil dan hanya memerlukan sistem penyejukan minima untuk memastikan CPU-CPU ini boleh digerakkan pada tahap optimum.
Sumber: VideoCardz