Apple Membeli Iklan Melalui Carian Google Untuk Mendapatkan Potongan Besar Pendapatan Langganan Aplikasi Popular

Diterbitkan pada Nov 15, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Ada banyak aplikasi di pasaran sekarang yang hadir dengan pelan langganan yang boleh dibeli oleh pengguna secara terus. Ada kalanya ia diperlihatkan bahawa untuk menguruskan pelan-pelan langganan ini agak leceh. Salah satu daripada cara untuk menyatukan langganan-langganan ini dengan mudah ialah jika anda memiliki sebuah peranti iOS ataupun MacOS keluaran Apple.

Apple memudahkan pengguna untuk menyatukan langganan-langganan yang banyak, tetapi dengan cara ini, Apple dilihat akan mengambil potongan yang agak banyak daripada langganan-langganan ini. Walaupun ia memudahkan pengguna, dari segi jangka-masa panjang, para pembangun aplikasi ini dilihat akan menerima kerugian yang agak besar kerana potongan-potongan tersebut.

Terkini, Forbes telah melaporkan bahawa Apple kini dilihat mengambil iklan melalui carian-carian Google yang mana mereka akan memaparkan iklan mengenai sebuah aplikasi dengan langganan yang popular dan kemudiannya mengarahkan pengguna untuk memuat-turun aplikasi tersebut ke Apple App Store.

Orang ramai yang memuat-turun aplikasi dan mengaktifkan langganan dengan cara ini secara lazimnya akan memikirkan bahawa iklan tersebut dibuat oleh pembangun aplikasi sendiri, tetapi ia sebenarnya adalah oleh Apple supaya mereka boleh mendapatkan potongan daripada pembayaran langganan aplikasi.

Menurut laporan Forbes, perkara ini dilihat mula berlaku sekitar dua tahun yang lalu, dan Apple melakukan perkara ini tanpa pengetahuan ataupun kebenaran pembangun-pembangun aplikasi ini. Secara teknikalnya, untuk para pelanggan aplikasi ataupun pengguna peranti Apple, tiada salah-laku yang berlaku, tetapi ia perlu diingatkan bahawa para pembangun aplikasi ini mengalami kerugian agak besar kerana tindak-laku Apple.

Bagi mereka yang tidak tahu bagaimana Apple mengenakan potongan pendapatan daripada pembangun-pembangun aplikasi ini, untuk tahun pertama langganan seorang pelanggan, mereka akan mengambil potongan 30 peratus daripada pembangun untuk tahun pertama, dan 5 peratus pada tahun seterusnya.

Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat ini juga dilihat terpaksa bersaing dengan Apple untuk mendapatkan iklan yang lebih mudah dilihat, dan ini meningkatkan kos operasi syarikat-syarikat ini, kerana Apple dilihat boleh menaburkan wang dengan sewenang-wenangnya untuk mendapatkan langganan menggunakan sistem langganan mereka sendiri.

Dalam pada itu, Google sendiri tidak akan menurunkan iklan-iklan ini kerana secara teknikalnya, Apple tidak menyalahi mana-mana undang-undang dalam membeli iklan-iklan seperti ini.

Mengeruhkan keadaan lagi ialah sekiranya para pelanggan menggunakan sistem langganan Apple untuk melanggan perkhidmatan seperti HBO Go, Masterclass dan sebagainya, mereka hanya boleh bercakap dengan perkhidmatan pelanggan Apple kerana sistem langganannya menggunakan Apple dan bukan aplikasi yang dilanggan.

Syarikat-syarikat seperti HBO, Masterclass dan Babble dilihat tersekat dalam situasi yang menyukarkan mereka untuk berkembang sebagai sebuah syarikat kerana walaupun mereka mempunyai pelanggan yang ramai, potongan yang diambil oleh Apple untuk langganan-langganan ini menyukarkan kemaslahatan jangka panjang dalam menawarkan teknologi ataupun penawaran baru kepada para pengguna mereka.

Sumber: Forbes

komen


© Amanz / 2022 Kami