Bersama-sama penawaran pra-tempahan telefon pintar Sony Xperia PRO-i di Malaysia, pihak Sony turut telah mula membuka pra-tempahan untuk kamera Sony Alpha 7 IV untuk pasaran tempatan.

Sony Alpha 7 IV hadir dengan sensor 33-megapixel Exmor R, dan turut dijana dengan cip pemprosesan BIONZ XR terbaru. Disamping itu, Sony juga memfokuskan kepada ciri autofokus yang kini meliputi sekitar 94% kawasan rakaman, termasuk menyertakan sokongan autofokus untuk haiwan selain manusia.

Kamera ini turut menyertakan sokongan untuk rakaman video 4K pada kadar 60p, selain kebolehan rakaman 10-bit 4:2:2. Beberapa ciri rakaman profesional ditujukan kepada penerbit kandungan turut disediakan bersama kamera ini – termasuk sokongan S-Cinetone.
Melengkapkan kamera ini adalah skrin sentuh 3-inci, rekaan yang boleh membebaskan haba untuk rakaman tempoh lama, selain sokongan WiFi dan juga Bluetooth.
Di Malaysia, Sony Alpha 7 IV ini ditawarkan pada harga RM11,499, sementara kit yang hadir dengan lensa zum 28mm-70mm pada harga RM12,499. Bagi anda yang berminat, boleh lakukan pra-tempahan hari ini melalui laman rasmi Sony.
