Cari @ Amanz

“Aerith” Ialah Nama SoC AMD Yang Menguasakan Konsol Steam Deck

Oleh Nazrin

Link Copied!

Sewaktu acara NVIDIA GTC yang berlangsung beberapa hari lalu, Valve hadir di acara tersebut untuk memperlihatkan komponen-komponen dalaman penting dalam binaan konsol terbaru mereka, iaitu Steam Deck. Seperti yang diketahui sebelum ini, ia dikuasakan oleh APU AMD terbaru yang dinamakan Van Gogh.

AMD dilihat membina sebuah APU khas berdasarkan cip Van Gogh ini yang diberikan nama “Aerith“. Ia hadir dengan gabungan empat teras pemprosesan AMD Zen 2 (AMD Ryzen 3000) dan lapan Compute Unit cip pemprosesan grafik AMD RDNA 2 yang dilihat hadir dengan kemampuan untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada resolusi 1280×800 dan kadar segar semula 60FPS pada paparan skrin 7 incinya.

Dari segi penawaran memori, konsol ini dilihat hadir dengan jumlah memori 16GB LPDDR5 yang baru, dimana ia hadir dengan kelajuan yang lebih pantas dan penggunaan kuasa lebih rendah berbanding dengan LPDDR4. Pihak Valve mengatakan penggunaan memori LPDDR5 ini adalah untuk memastikan kelangsungan jangka masa panjang konsol ini.

APU ini hadir dengan kelajuan 2.4GHz sehingga 3.5GHz dengan 4W sehingga 15W untuk memastikan bahawa ia adalah sebuah konsol yang tidak begitu memaka kuasa, tetapi masih lagi hadir dengan kemampuan untuk menggerakkan permainan pada resolusi dan tetapan yang sesuai dengan konsol tersebut.

Steam Deck akan tiba untuk mereka yang sempat pra-tempah konsol tersebut beberapa bulan yang lalu pada bulan Februari tahun depan. Stok tambahan untuk konsol ini dijangka akan tiba sekitar suku kedua atau ketiga tahun hadapan.

Sumber: Tom’s Hardware


Komen ()