Carian
Ulasan Huawei Nova 9 – Kembar Tak Seiras Honor 50
November 22, 2021 Fahim Zahar

Nampaknya strategi pengeluar peranti dari China sekarang adalah melancarkan dua model berbeza dalam siri sama pada satu tahun. Redmi dengan siri Note mereka, Oppo dengan Reno, Huawei pula dengan Nova dan banyak lagi.

Peranti terkini Huawei adalah Nova 9, yang mana pengganti kepada Nova 8 yang baru sahaja dilancarkan beberapa bulan lalu. Kami di Amanz sudah menguji peranti ini untuk beberapa minggu dan dalam artikel ulasan ini, akan kami kongsi pengalaman penggunaan peranti ini. Nova 9 dilihat amat mirip dengan Honor 50 – tetapi apa bezanya dan berbaloi beli yang mana?


Spesifikasi Dan Rekaan

Huawei Nova 9
Skrin6.57″ OLED, FHD+, 120Hz
PemprosesSnapdragon 778G 4G (6nm)
Cip4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.8 GHz Kryo 670
Cip GrafikAdreno 642L
RAM8GB
Muatan Dalaman256GB UFS
Kamera Utama50 MP, f/1.9, (sudut lebar)
8 MP, f/2.2, (sudut ultra lebar)
2 MP, f/2.4, (kedalaman)
2 MP, f/2.4, (makro)
Kamera AI, mod malam
Mod potret, Super makro
Kamera Swafoto32MP, f/2.0
Bateri4300mAh
Huawei SuperCharge 66W
SIM/Telefoni/NFCDwi SIM nano / 4G/ Ya
Pembesar SuaraMono
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM1,999

Ramai yang terfikir, adakah masih berbaloi membeli peranti Nova kerana tiada GMS? Jawapan kami adalah, kalau tidak beri peluang dan ada sifat berani mencuba – sampai sudah pun peranti ini tidak akan berharmoni. Tetapi, persoalan penting adalah – Nova 9 vs Honor 50. Walaupun kedua-dua ini lebih kurang sama, tetapi pengalaman penggunaan adalah jauh berbeza.

Nova 9 hadir dengan skrin 6.57-inci daripada panel OLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Ia dijana dengan cip Snapdragon 778G versi 4G, memori pula adalah 8/256 GB, dengan konfigurasi kuad-kamera 50+8+2+2 Megapixel dan kamera swafoto pula adalah 32MP yang sama pada Nova 8 sebelum ini.

Bateri adalah lebih besar daripada Nova 8, iaitu 4300mAh dengan sokongan pengeecasan pantas Huawei SuperCharge 66W, kekal dengan pembesar suara mono, turut tersedia adalah pengimbas cap jari bawah skrin dan ia menjalankan Android 11 dengan antaramuka EMUI 12 yang dijanjikan akan menerima kemas kini Harmony OS tidak lama lagi.

Peranti ini juga direka dengan rekaan yang sedikit berbeza dengan peranti Nova lain, tetapi masih cuba mengekalkan elemen rekaan peranti Huawei yang premium seperti dari siri P. Modul kamera yang dilihat agak aneh ini mungkin bukan citarasa semua orang. Tidak kira pada imej pengolokan atau di depan muka, ia masih kelihatan aneh. Susunan lensanya tidak membuatkan mata senang memandang pada setiap modul. Ia seakan kali pertama melihat takut atau lubang pada skrin peranti.

Sisi kanan ada butang kuasa, ada butang aras suara, di sisi kiri tiada apa-apa, tetapi di atas ada lubang skrin dan di bawah ada slot kad SIM, port USB-C dan kekisi pembesar suara. Di hadapan ada skrin me

Skrin peranti ini adalah cukup baik dan cantik. Ia menyokong HDR10, tetapi sayang sekali tiada aplikasi yang boleh menggunakannya. Netflix hanya sekadar SD, YouTube juga disebabkan menggunakan aplikasi pihak ketiga ia mungkin akan membahayakan data pengguna. Jadi skrin peranti ini hanya cukup cantik untuk lihat gambar-gambar yang tersedia. Ia juga adalah skrin melengkung, yang mana ada satu nilai premium. Tetapi apabila trend penggunaan skrin rata sudah semakin menjadi-jadi, ia akan rasa sedikit aneh apabila kandungan mula mengganggu. Tetapi pada sesetengah orang, ini mungkin satu isu besar.

Tetapi apa yang penting adalah, skrin Nova 9 ini yang menyokong 120Hz yang gila pantas. Jarang sekali untuk temui peranti kelas pertengahan dengan skrin kadar segar semula tinggi yang konsisten, stabil dan memuaskan. Sudah semestinya, penggunaan kami adalah 120Hz sentiasa untuk memanfaatkan penawaran mereka.

Cip Snapdragon 778G juga ternyata pantas dan memberikan satu pengalaman penggunaan yang mengasyikkan. Bermain permua tiada masalah memanas yang serius, membuka banyak aplikasi juga tidak mendatangkan masalah. Huawei dan Snapdragon adalah satu pasangan terbaik yang patut diteruskan.

Apa Yang Menarik

Nova 9 menjalankan sistem operasi baharu Huawei, EMUI 12 dan bukannya Harmony OS. Tetapi disebabkan sudah biasa dengan Harmony OS pada MatePad 11, penggunaan akan rasa mudah. Ia juga tidak ada banyak beza dengan EMUI sebelum ini. Pengalaman penggunaan keseluruhan peranti ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan Nova 8, cuma ia rasa lebih lancar. Antara sebab ia rasa lebih pantas dan lancar adalah kerana seperti yang disebut di atas tadi, iaitu sokongan kadar segar semula tinggi 120Hz yang cukup baik.

Peminat Huawei sedia ada akan rasa bersyukur untuk perubahan yang telah dilakukan pada EMUI 12. Ia seronok digunakan, mudah, rasa seronok. Walaupun masih ada perasaan yang sama, tetapi ia masih cuba memberi sedikit kelainan. Sekali lagi dengan Celia yang mana menyokong bahasa Melayu, ia boleh mendengar arahan suara dengan baik dan pantas dan melakukan arahan tersebut dengan tepat sekali. Di sini satu bukti lagi yang Huawei memang serius dengan HMS dan mungkin tidak akan kembali dengan GMS.

Sudah semestinya, apabila bercakap mengenai produk Huawei – ekosistem mereka wajib disebut. Jika ada FreeBuds, MatePad dan MateBook, penggunaan akan lebih menyeronokkan. Ini kerana semua peranti ini boleh digunakan di antara satu sama lain. Huawei cukup hebat dalam ini dan boleh dikatakan mempunyai tahap efisien yang menghampiri Apple.

Perkara menarik seterusnya adalah kualiti kamera yang dilihat sedikit lebih baik daripada Honor 50 yang hampir sama tetapi sensor yang berlainan. Ini menjadikan peranti ini amat sesuai untuk mereka yang ingin berjinak dengan fotografi Huawei. Hasil AI peranti ini dilihat agak baik, pasca-proses pantas dan mampu memberikan hasil yang menakjubkan.

Mod malam dan mod jarak dekat juga untuk fotografi ia berada dalam kategori yang amat memuaskan. Ia ada sedikit percubaan untuk memberikan hasil yang mendekati sesebuah peranti mercu. Sains warna Huawei yang sedia terkenal juga masih kelihatan, yang mana ke arah semula jadi dengan tiada nilai HDR yang berlebihan sambil memelihara butiran dengan baik.

Kamera swafoto juga dilihat boleh diterima dan memberikan hasil yang boleh diterima. Butiran dipelihara dengan baik dan ia juga mempunyai warna yang menarik. Mod kecantikan juga dilihat tidak begitu melampau dan cuba dengan baik untuk mengekalkan raut wajah yang asal.

Peranti ini turut dipasarkan sebagai telefon yang sesuai untuk vloggers, yang mana tidak dinafikan ia benar sesuai jika bijak memilih tetapan, penuras dan tahu cara suntingan. Lebih-lebih lagi pada video yang ada banyak pilihan templat untuk memudahkan pengguna. Ini adalah antara peranti yang sedia digunakan oleh pencipta kandungan TikTok atau mungkin YouTube Shorts.

Ketahanan bateri juga adalah antara perkara positif pada peranti ini. Ia boleh bertahan pada jangka masa yang agak lama dan ini satu perkara yang memuaskan. Bayangkan 120Hz dengan SOT melebihi 8 jam tidak menjadi masalah. Tambahan pula dengan pengecasan 66W yang boleh mengecas peranti dalam sekelip mata sahaja.

Apa Yang Tidak Menarik?

Walaupun prestasi peranti dari penggunaan biasa adalah baik dan permua tidak memanas. Itu semua adalah untuk tetapan yang telah dicadangkan atau yang tersedia cara lalai. Asphalt 9 pada tetapan paling tinggi adalah tidak begitu menarik untuk dimainkan. Ia ok sahaja, cuma akan rasa ada yang kurang. Walaupun tidak panas, ia ada satu perasaan yang membuatkan permua pada peranti ini tidak memuaskan.

Perkara tidak menarik lain adalah audio yang amat lemah. Peranti ini hanya ada pembesar suara mono, yang mana ia cukup kuat. Tetapi mono bukan pilihan bijak dan yang patut digunakan. Huawei tiada alasan untuk tidak menyertakannya jikalau harga sudah menghampiri RM2000. Xiaomi boleh sahaja tawarkan siri 11T pada harga bermula RM1699 dengan kamera terbaik, audio menarik dan penggunaan keseluruhan yang memuaskan.

Video pula tidak memuaskan dengan fokus yang tidak begitu pantas dan warna yang tidak konsisten. Ini adalah kerana, Huawei memfokuskan kepada penggunaan penuras dan untuk mereka yang aktif dalam mencipta kandungan untuk TikTok. Jika sekadar kandungan video menegak pendek, kualiti video asas yang ditawarkan sudah memadai.

Ketiadaan 5G pada peranti ini juga adalah antara kekurangan besar. Benar, di Malaysia sokongan 5G yang meluas belum boleh dinikmati lagi. Tetapi kalau ada pengguna yang sudah ingin beli peranti ini dan tidak akan tukar peranti dalam masa yang 2-3 tahun bagaimana?

Pesaing

Nova 9Honor 50Xiaomi 11 Lite 5G NE
6.57-inci OLED, 120Hz, FHD+,
(1080 x 2400 piksel) (~392 ppi)
6.57-inci OLED, 120Hz, FHD+,
(1080 x 2400 piksel) (~392 ppi)
6.55-inci AMOLED, 90Hz, FHD+,
HDR10+, Dolby Vision,
(1080 x 2400 piksel) (~392 ppi)
Snapdragon 778G 4G (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.8 GHz Kryo 670
Snapdragon 778G 4G (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.8 GHz Kryo 670
Snapdragon 778G 4G (6nm)
4 x 2.4 GHz Kryo 670
4 x 1.8 GHz Kryo 670
Adreno 642LAdreno 642LAdreno 642L
8GB RAM6/8 GB RAM6/8 GB RAM
256GB UFS128/256 GB UFS128/256 GB UFS 2.2
Kamera Utama
50+8+2+2 Megapixel,
(f/1.9+f/2.4+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
108+8+2+2 Megapixel
(f/1.9+f/2.4+f/2.4+f/2.4)
Kamera Utama
64+8+5 Megapixel,
(f/1.8+f/2.2+f/2.4)
Kamera Hadapan
32-Megapixel,
(f/2.0)
Kamera Hadapan
32 Megapixel,
(f/2.2)
Kamera Hadapan
20 Megapixel,
(f/2.2)
Tiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis AirTiada Kemampuan Kalis Air
Tiada Bicu audio 3.5mmTiada Ada bicu audio 3.5mmTiada Ada bicu audio 3.5mm
Tiada Pemancar infra merahTiada pemancar infra merahTiada Pemancar infra merah
4300 mAh (Berwayar 66W)4300 mAh (Berwayar 66W)4250 mAh (Berwayar 33W)
RM1,999RM1,699 – RM1,999RM1,199 – RM1,599

Kesimpulan

Huawei Nova 9 tidak dinafikan adalah sebuah peranti kelas pertengahan premium yang baik. Tetapi, kekurangan yang ada pada peranti ini seperti audio mono, kualiti video yang tidak semenggah serta prestasi permua yang kurang memuaskan akan membuatkan orang ramai was-was untuk membeli peranti ini. Walaupun HMS sudah semakin baik, tetapi ia masih belum sehebat Google lagi. Jika GMS tiada, kekurangan-kekurangan ini perlu diubah menjadi satu perkara yang lebih baik.

Dalam ujian kami antara Nova 9 dan Honor 50, kami lebih sukakan Nova 9. Tetapi kami terpaksa memilih Honor 50 sebagai pemenang kerana ada GMS dan membuatkan pengalaman penggunaan lebih lengkap. Harga jualan RM1,999 bukan satu nilai yang kecil untuk peranti yang hanya sederhana.


Pro

  • EMUI 12 yang lebih menarik dan mendekati Harmony OS.
  • Skrin yang pantas dengan 120Hz yang konsisten.
  • Ketahanan bateri yang lama dengan pengecasan yang cukup pantas.
  • Ekosistem Huawei yang semakin hebat dan memudahkan pengguna.
  • Kualiti kamera untuk fotografi yang memuaskan.

Kontra

  • Audio mono yang menjengkelkan.
  • Skrin yang tidak menyokong banyak kandungan.
  • Kualiti video yang sekadar bolehlah.
  • Harga jualan yang agak mahal.
Komen