Cari @ Amanz

Rekaan OnePlus Nord N20 5G Tertiris Dengan Panel Belakang Yang Unik

Link Copied!

OnePlus Nord siri N adalah peranti kelas pertengahan mampu milik OnePlus, berbanding model OnePlus Nord biasa. OnePlus dilihat telah bersedia untuk hadir dengan pengganti kepada Nord N10, iaitu Nord N20 5G – kerana rekaannya baru sahaja tertiris.

OnePlus Nord N20 5G dilihat mempunyai rekaan panel belakang yang sedikit lebih segar berbanding peranti OnePlus sebelum ini yang mirip Realme dan Oppo sahaja. Kali ini OnePlus memilih rekaan yang rata di setiap sisi, panel belakang serta skrin rata.

Panel belakang dilihat paling unik, dengan tiada bonggol kamera – tetapi setiap lensa sedikit terkeluar. Terdapat dua lensa kamera terjojol keluar, ditemani dengan sensor gimik dan lampu LED flash. Di sisi kanan terdapat butang kuasa dengan siri kiri terdapat butang kawalan aras suara dan slot kad SIM.

Di bawah turut kelihatan kekisi pembesar suara, lubang mikrofon dan port USB-C. Di atas juga ada satu lagi lubang untuk mikrofon. Seperti sebelum ini, butang luncur notifikasi tidak ada pada siri Nord N.

Peranti ini dikatakan menggunakan skrin 6.43-inci dengan dagu tebal, panel AMOLED dengan pengimbas cap jari bawah skrin, dijana cip pemprosesan Snapdragon 695 5G, serta menggunakan konfigurasi kamera 48MP + 2MP + 2MP bersama kamera swafoto 16MP.

OnePlus Nord N20 5G ini mungkin akan hadir dengan pilihan warna ungu serta kelabu. Selain peranti ini, OnePlus 10 Pro dengan rekaan yang diambil inspirasi daripada S21 Ultra turut telah tertiris. Sama-sama kita nantikan pelancaran peranti ini akan datang.


Komen ()