Carian
Samsung Galaxy S22 Akan Mengekalkan Penggunaan Cip Snapdragon dan Exynos
November 16, 2021 Effi Saharudin

Sebelum ini kedengaran ura-ura Samsung Galaxy S22 akan hanya ditawarkan dengan cip Exynos 2200 keluaran Samsung sendiri. Ini adalah bagi memastikan kesamarataan pada kesemua model peranti Galaxy S22 yang dijual di seluruh dunia. Bukan rahsia bahawa model dengan cip Snapdragon adalah lebih berkuasa berbanding Exynos. Menurut laporan The Elec, penggunaan dwi-cip ini akan diteruskan tahun hadapan.

Cip Exynos 898 akan digunakan pada peranti yang dijual di Amerika Syarikat. Peranti di Eropah dan Korea Selatan pula akan menggunakan cip Exynos 2200. Dalam laporan yang sama, pada peranti skrin boleh lipat Galaxy Z Flip4 dan Galaxy Z Fold4 pula, kesemua model akan menggunakan cip Snapdragon. Cip Exynos 2200 sebenarnya dinantikan kerana GPU RDNA 2 yang dibangunkan oleh AMD. Ciri seperti raytracing akan akhirnya ditawarkan pada peranti pintar mudah alih.

S21 FE yang ditangguh pelancarannya akan menggunakan cip Exynos 2100 dan Snapdragon 888. Sementara itu tablet Galaxy Tab S8, S8 Ultra dan S8 Plus menggunakan hanya cip Eyxnos 2200. Pada peranti kelas pertengahan seperti M33, A33, M53 cip Exynos turut akan digunakan. Kemudian pada pernati keluarga A32, M32, A02 dan A03 pula cip MediaTek akan digunakan. Dengan strategi ini, Samsung berharap isu bekalan cip yang berlaku tahun ini tidak akan berulang kembali.

Komen