Cari @ Amanz

Oppo A95 merupakan sebuah lagi peranti baru daripada Oppo di bawah siri A. Antara titik jualan utama yang diketengahkan oleh Oppo menerusi peranti ini adalah bateri besar 5000mAh dengan pengecasan pantas 33W. Ia juga mempunyai kapasiti memori 8GB RAM dengan sokongan RAM maya mencapai 5GB. Seperkara lagi, rekaan cantik dengan paparan yang luas juga menjadi bonus yang disertakan. Tetapi, apa lagi perkara lebih lanjut yang perlu anda tahu mengenai telefon pintar ini? Dengan tanda harga RM1,099, adakah berbaloi untuk anda memilikinya sebuah? Kami akan ceritakan dalam artikel ulasan ringkas di bawah.


Spesifikasi Ringkas Peranti:

Telefon PintarOPPO A95
Skrin6.43-inci AMOLED 60Hz, FHD+ (1080 x 2400 piksel) (~409 ppi)
PemprosesSnapdragon 662 (11 nm)
4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Cip GrafikAdreno 610
RAM8GB RAM (ram maya mencapai 5GB)
Muatan Dalaman128GB ROM
Kamera UtamaUtama – 48MP (f/1.7)
Makro – 2MP (f/2.4)
Kedalaman – 2MP (f/2.4)
Kamera Swafoto16MP (f/2.4)
Bateri5,000mAh
33W Flash Charge
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano + MicroSD
NFCTiada
Bicu AudioAda
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Imbasan Wajah
Harga JualanRM1,099 (8GB/128GB)

Reka bentuk & kemasan

Oppo A95 dilengkapi binaan badan berasaskan polikarbonat bersama kemasam matte yang agak kasar di belakang. Kami menerima unit Oppo A95 dalam kemasan bewarna Glowing Rainbow Silver. Ia agak menarik kerana nampak cukup ceria, santai dan sedap mata memandang. Anda juga akan perasan adanya sedikit pantulan cahaya seakan pelangi yang menghiasi langit petang apabila ia dilihat daripada pelbagai sudut. Tambah menarik, panel ini tidak terlalu licin dan kotoran cap jari juga boleh dikatakan hampir tidak kelihatan. Sungguhpun begitu, jikalau anda lebih menggemari sesuatu yang nampak ringkas. Anda mungkin boleh memilih Oppo A95 dalam kemasan berwarna Glowing Starry Black yang dihiasi rona serba hitam.

Pengalaman memegang peranti sememangnya terasa selesa. Ianya cukup ringan dan nipis. Kemudian, rekaan pada keempat-empat sisi yang melengkung juga membuatkannya selesa apabila berapa di tangan. Namun begitu, rekaan ini sebenarnya masih belum cukup sempurna. Mengapa? Ini disebabkan oleh binaan kameranya yang masih terkeluar daripada tubuh. Ia sekaligus mengakibatkan peranti tidak boleh diletakkan elok di atas meja atau permukaan yang rata. Kami juga pasti penggunaan peranti tanpa sebarang pelindungan adalah agak bahaya. Sebabnya, ia pastinya mudah calar jika tidak dijaga dengan baik.

Bercakap mengenai port sambungan dan butang pula. Oppo A95 menggunakan sambungan port USB-C pada bahagian bawah. Ia diletakkan bersama-sama dengan pembesar suara mono dan bicu audio 3.5mm. Ini adalah berita baik buat sesetengah pengguna yang masih menyukai penggunaan fon telinga dan kepala berwayar. Namun begitu, penggunaan sistem pembesar suara mono pula adalah kekurangan yang ketara. Tambah-tambah lagi buat sesiapa yang mahukan kemampuan audio lebih baik.

Butang kuasa terletak pada sisi kanan, Butang laras audio pula berasa di sisi kiri peranti. Kesemua butang adalah kukuh tanpa sebarang masalah yang melampau. Ia juga mudah untuk diakses dengan sokongan tindak balas yang baik. Pada masa sama, anda turut boleh temui ruang talam dwi-SIM yang terletak pada sisi kiri. Agak menarik apabila ia turut menyokong kebolehan penambahan storan dalaman menerusi microSD.

Di bahgian hadapan pula, Oppo A95 menggunakan skrin sejenis rata berukuran 6.43-inci beresolusi FHD+. Ia dirasakan lebih mudah digunakan berbanding skrin melengkung. Kualiti paparan adalah memuaskan menerusi penggunaan panel AMOLED. Kandungan dengan warna yang cukup terang dan baik turut dapat dinikmati. Skrin juga adalah jelas sekali. Mahu menatap media sosial? Atau mungkin membaca langsung berita menarik di Amanz? Ia langsung tiada masalah.

Tapi sayangnya, kekurangan ketara adalah skrin yang hanya menyokong kadar segar semula terhad kepada 60Hz. Kami pasti, perkara ini mungkin menimbulkan rasa ralat buat sesetengah pengguna. Sedangakan kita juga boleh lihat sudah ada pesaing terdekat yang mampu memberikan ciri sekurang-kurangnya skrin 90Hz pada telefon pintar keluaran mereka. Seperkara lagi, kewujudan bezel yang tebal pada bahagian dagu turut jelas kelihatan. Sungguhpun begitu, ia bukanlah satu masalah yang besar. Sebaliknya, perkara yang biasa ditemui dalam sesebuah peranti dalam kelas sebegini.

Seterusnya, terdapat dua pilihan sistem sekuriti yang diberikan. Anda boleh pilih sama ada mahu menggunakan pengimbas cap jari di bawah skrin atau fungsi imbasan wajah. Pada hemat kami, kedua-duanya berfungsi dengan baik. Jari hanya perlu menyentuh skrin dan anda akan terus dibawa ke muka utama peranti. Bagaimanapun, fungsi imbasan wajahnya mempunyai prestasi jauh lebih pantas. Dengan syarat, mata tidak ditutup dan tanpa pelitup muka.


Pengalaman Penggunaan

Oppo A95 menggunakan sistem operasi Android 11 dengan antaramuka ColorOS 11.1. Ini adalah penawaran yang sama dengan beberapa peranti Oppo yang pernah kami ulas sebelum ini. Misalnya, Oppo Find X3 Pro, Oppo Reno 6 5G, Oppo Reno 5 Pro 5G dan lain-lain. Melaluinya, ia memaparkan rekaan antaramuka yang mudah untuk digunakan. Ia boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna sendiri.

Misalnya, anda boleh mengubah tema, ikon, animasi pengimbas cap jari, font dan lain-lain. Sejumlah ciri tersesuai untuk pengalaman permua yang memuaskan turut disertakan. Antaranya seperti Game Space dan Game Assistant. Kemudian, terdapat juga ciri Flexdrop yang menawarkan penggunan peranti lebih cekap. ColorOS 11.1 turut memberi fokus terhadap ciri pelindungan keselamatan. Di mana, ciri Private Safe turut disertakan untuk simpanan fail peribadi lebih baik. Ia termasuklah pelbagai jenis fail seperti gambar, video dan lain-lain.

Seterusnya, Oppo A95 dijana oleh cip Snapdragon 662. Padanan memori adalah 8GB RAM bersama storan dalaman 128GB. Ia juga menawarkan sekongan RAM maya mencapai 5GB dan penambahan storan menerusi kad microSD. Secara amnya, peranti menunjukkan prestasi yang baik-baik sahaja, Penggunaan untuk aktiviti asas seperti menatal media sosial, penstriman video dan lain-lain boleh diakses dengan baik-baik sahaja. Sungguhpun begitu, ada sedikit masalah sela masa yang berlaku pada unit ulasan ini untuk sesetengah keadaan. Proses membuka dan menukar antara aplikasi juga agak kurang lancar terutamanya aplikasi berat seperti PUBG.

Untuk tetapan permua, permainan seperti Mobile Legend Bang Bang dapat dimainkan sehingga Ultra dengan HD dan HFR yang diaktifkan. Secara lalai, grafik PUBG Mobile adalah Smooth dengan kadar bingkai Medium. Grafik Balanced juga boleh diakses dengan kadar bingkai mencapai Medium. Kemudian, kadar bingkai High pula adalah terhad pada grafik smooth. COD Mobile juga menyokong beberapa pilihan. Secara lalai, grafik dan kadar bingkai ditetapkan pada medium. Kemudian, grafik Very High juga boleh diakses dengan kadar bingkai mencapai Medium. Akhir sekali, kadar bingkai High pula adalah terhad pada grafik Low.


Kamera

Oppo A95 dibekalkan dengan tiga kamera dibelakang. Ia terdiri dengan 48MP (utama) + 2MP (makro) + 2MP (kedalaman). Kamera hadapan pula adalah sebesar 16MP. Peranti juga mempunyai sokongan zum digital mencapai 5X. Selain itu, ia juga tidak mempunyai sebarang sokongan untuk OIS. Rakaman video pula boleh dibuat pada tetapan tertinggi 1080p/30fps untuk kedua-dua belah kamera. Buka sahaja aplikasi, anda akan disajikan dengan antaramuka kamera yang kemas serta mudah untuk difahami. Anda juga boleh mengakses tetapan dan fungsi tambahan yang disediakan dengan mudah. Berikut adalah hasil gambar yang diambil menggunakan peranti ini :

Ketiadaan sensor sudut-lebar pada peranti pintar ini mungkin menimbulkan sedikit rasa ralat. Rasanya adalah lebih baik sekiranya Oppo menggunakan sensor berkenaan sebabnya tidak ramai di antara kita yang menggunakan sensor kedalaman atau makro secara kerap. Sungguhpun begitu, persediaan kamera utama mampu menghasilkan kualiti gambar yang baik, lebih-lebih lagi pada pencahayaan yang sempurna. Dapat dilihat, penghasilan semua warna masih boleh diterima untuk kebanyakan situasi. Tetapi, gambar akan menjadi agak tepu sekiranya fungsi AI diaktifkan. Gambar sebegini rasanya lebih sesuai untuk mereka yang mahukan penghasilan warna agak menonjol.

Seterusnya, gambar yang diambil dalam situasi pencahayaan rendah pula memperlihatkan hasil yang kurang memuaskan. Hingar agak ketara, butiran tidak begitu tajam dan sumber cahaya dalam sesetengah keadaan dilihat terlalu terang. Meskipun, ia mempunyai sokongan mod malam terbina. Namun, hasilnya masih kurang memuaskan dengan hingar yang masih jelas kelihatan untuk beberapa situasi.

Seperkara lagi, terdapat hal yang pelik kami perasan berkaitan kamera pada peranti ini. Sewaktu kami menangkap gambar untuk masa yang panjang. Ada beberapa ketika itu, kami mendapati aplikasi kameranya tidak dapat berfungsi dengan baik. Di mana, shutter button kamera boleh ditekan tetapi gambar langsung tidak diambil. Kami turut mencubanya dengan beberapa mod yang lain seperti video, pro dan sebagainya. Keadaan yang sama tetap berlaku. Apabila hal ini terjadi, ia menimbul sedikit rasa kurang senang dan sedikit marah pada kami. Tambahan pula, ketika itu kami sedang mengambil gambar untuk artikel ulasan ini.

Pada awalnya kami menyangkakan dengan menutup aplikasi dan membukanya semula, pemasalahan ini akan selesai. Tapi sayangnya, tidak sama sekali. Cara terakhir yang kami lakukan adalah dengan restart semula peranti. Kemudian, barulah aplikasi kamera dapat berfungsi seperti sedia kala. Sepanjang ulasan ini dibuat, masalah ini berlaku dengan agak kerap. Kami tidak pasti mengapa masalah ini berlaku. Tetapi, mesra untuk dikatakan unit ulasan Oppo A95 yang kami terima ini menggunakan perisian awal. Jadi, tidak diketahui sama ada pemasalah ini berkaitan dengannya atau tidak. Tetapi kami berharap agar pemasalahan ini tidak berlaku pada model yang akan dijual kelak.


Bateri

Bateri Oppo A95 adalah sebesar 5000mAh. Ia juga menyokong pengecasan pantas 33W Flash Charge. Pada masa sama, anda juga akan temui ciri yang dinamakan Battery Guard/AI Night Charge untuk proses pengecasan lebih selamat apabila dibiarkan sewaktu tidur sehingga ke pagi. Pada penggunaan kami, peranti mampu untuk bertahan hampir 10 jam dengan skrin terpasang mencapai lebih 5 jam. Ia bagaimanapun bergantung pada penggunaan masing-masing. Untuk kami, peranti ini digunakan sehari suntuk untuk beberapa aktiviti. Antaranya seperti menstim video, penggunaan sebagai hotspot, menangkap gambar, bermain permua untuk beberapa sesi, melayari web dan beberapa lagi aktiviti lain.


Pesaing Peranti

Oppo A95Xiaomi 11 Lite 5G NESamsung Galaxy A52
6.43-inci AMOLED 60Hz, FHD+ (1080 x 2400 piksel) (~409 ppi)6.55 -inci AMOLED, FHD+ (1080 x 2400 piksel), (~402 ppi), Dolby Vision6.5 -inci Super AMOLED 90 Hz, FHD+ (1080 x 2400), ~407 PPI
Snapdragon 662 (11 nm)
4 x 2.0 GHz Kryo 260 Gold
4 x 1.8 GHz Kryo 260 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
1 X 2.4 GHz Kryo 670 Prime
3 X 2.2 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 720G (8nm)
Dual 2.3GHz + Hexa 1.8GHz
Adreno 610Adreno 642LAdreno 618
8GB RAM
128GB ROM
6/8 GB RAM
128/256 GB ROM
8GB RAM
256GB ROM
Utama – 48MP (f/1.7)
Makro – 2MP (f/2.4)
Kedalaman – 2MP (f/2.4)
Sudut lebar– 64MP (f/1.9)
Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro -5MP (f/2.4)
Utama – 64MP (f/1.8)
Ultra-Lebar – 12MP (f/2.2)
Kedalaman – 5MP (f/2.4)
Makro – 5MP (f/2.4)
16MP (f/2.4)20MP (f/2.2)32MP (f/2.0)
Tidak Kalis AirTidak kalis airIP67
Bicu Audio 3.5mmTiada bicu audio Bicu Audio 3.5mm
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
5,000mAh
Pengecasan 33W
4,250mAh
Pengecasan 33W
4,500mAh
Pengecasan 25W
RM1,099 (8GB/128GB)Harga bermula RM1199RM1,499

Kesimpulan

Jadi, itulah penawaran pada Oppo A95 yang perlu anda tahu. Ia merupakan sebuah peranti dengan bateri dan memori yang cukup besar. Boleh dikatakan penawaran yang dapat memenuhi kebanyakan rutin pengguna. Tetapi pada hemat kami, penggunaan cip Snapdragon 662 dan skrin sekadar 60Hz pada peranti ini sebenarnya agak ketinggalan untuk tahun 2021. Ini ialah spesifikasi klasik untuk peranti pintar kelas pertengahan dari tahun 2019.

Kita boleh melihat pesaing terdekat Oppo menggunakan cip Snapdragon 720G seperti Samsung Galaxy A52 4G. Penawaran juga menarik dengan adanya bicu audio 3.5mm, kemampuan kalis air IP67 dan pembesar suara stereo. Jika anda mahukan pilihan yang lebih berbaloi, Xiaomi 11 Lite 5G NE dan Samsung Galaxy A52s menggunakan cip Snapdragon 778G pada harga yang hanya sedikit lebih mahal.

Namun begitu, pilihan masih terletak ditangan anda sendiri. Tepuk dada tanya selera. Bagi yang berminat, Oppo A95 dijual pada RM1,099 dengan dua pilihan warna seperti Glowing Rainbow Silver dan Glowing Starry Black. Sesi pra-tempah telah dibuka sehingga 19 November ini dengan penawaran sejumlah hadiah percuma yang menarik.

Untuk makluman, anda juga boleh menggunakan kod promosi terhad eksklusif ”OPPOA95Amanz” untuk mendapatkan diskaun sebanyak 10% untuk pembelian Oppo A95. Ia bagaimanapun terhad kepada 50 tebusan sahaja. Selain itu, penebusan ini juga terhad untuk pemilihan penghantaran dalam talian dan promosi PWP (tambahan RM1 dan dapatkan Oppo Enco Buds yang bernilai RM159) sahaja. Ia bagaimanapun tidak tersedia untuk pembelian dalam talian yang menerima hadiah percuma berupa jaminan lanjutan selama 6 bulan (RM49.90) dan OPPO VOOC Powerbank (RM229).


Pro

  • Rekaan yang anggun dan ringan.
  • Paparan AMOLED yang cantik, lubang langsung tidak mengganggu.
  • Jangka bayat bateri baik bersama pengecas 33W.
  • Bicu audio 3.5mm.
  • Sistem sekuriti berprestasi pantas.
  • Perisian yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

Kontra

  • Skrin hanya 60Hz.
  • Prestasi kurang memuaskan untuk peranti dengan harga RM1000 keatas.
  • Pembesar suara mono.
  • Kamera makro sekadar gimik.
  • Isu dengan aplikasi kamera yang berlaku dengan kerap sepanjang tempoh ulasan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd