Carian
Kamera Perfileman Sony Venice 2 Dilancarkan Dengan Sensor 8.6K
November 16, 2021 Effi Saharudin

Sony melancarkan sebuah lagi kamera hari ini tetapi khusus untuk kegunaan perfileman profesional. Sony Venice 2 diumumkan dengan sensor 8.6K bingkai penuh dengan kemampuan merakam video sehingga pada tetapan ekstrem 8.6K (3:2) 30 FPS. Sensor yang digunakan sebenarnya adalah modular. Terdapat juga pilihan sensor 6K dari Venice asal dengan penukaran boleh dilakukan tanpa perlu melakukan tetapan semula perisian.

Tubuh Venice 2 kini 4mm lebih kecil dan berat berjaya dikurangkan sehingga 10% selepas menerima maklum balas dari pekerja produksi filem di lapangan. Kamera masih menggunakan lensa E-Mount Sony dengan pelbagai sambungan I/O dari Venice asal dikekalkan untuk memastikan kelangsungan aksesori yang sudah sedia dimiliki.

Ciri lain yang menarik ialah tona warna Sony, Dual Base ISO dan penuras ND terbina. Kamera Sony Venice 2 akan mula dijual pada Februari 2022 tetapi harga masih belum diumumkan pada waktu ini.

Komen