Cari @ Amanz

Di arena internet, kerajaan China cukup terkenal untuk sekatan internet mereka yang dinamakan Great Firewall of China yang tidak membenarkan rakyat mereka untuk mengakses sejumlah laman web yang dikatakan menghakis moral dan juga menyebarkan kepalsuan kepada rakyat negara tersebut.

Laman web seperti Google, Facebook, Twitter dan sebagainya diharamkan di negara tersebut kerana perkara ini, dan kerajaan tersebut sentiasa memantau penggunaan internet rakyat untuk mengharamkan kandungan laman web yang tidak boleh dikawal mereka.

Salah satu cara yang digunakan oleh rakyat China untuk mengakses kandungan yang tidak sepatutnya ini ialah dengan menggunakan VPN ataupun Virtual Private Network. Menariknya, walaupun VPN dari luar negara tidak boleh digunakan di China, terdapat pengelola VPN didalam negara itu sendiri yang boleh dilanggani untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan atas talian dan laman web yang tidak sepatutnya boleh diakses ini.

Terkini, kerajaan China telah memperkenalkan satu undang-undang baru dinamakan Network Data Security Management Regulations yang mengharamkan perkhidmatan VPN ini daripada digunakan oleh mana-mana individu ataupun syarikat didalam negara tersebut.

Undang-undang ini, yang diperkenalkan oleh Cyberspace Administration of China dijangka akan diluluskan tidak lama lagi, dan mereka yang disabitkan kesalahan membekalkan perkhidmatan VPN ini boleh dikenakan saman sebanyak 500 ribu Yuan (RM326 ribu) dan digantung lesen perniagaan mereka.

Langkah kerajaan China untuk membanteras penggunaan VPN bukanlah sesuatu yang baru. Sekitar 2017, Apple dan Google telah dipaksa untuk mengharamkan beratus-ratus perkhidmatan VPN dari gudang aplikasi masihng-masing untuk memastikan rakyat China tidak mengakses kandungan yang dikatakan tidak patut.

Sumber: South China Morning Post

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd