Keberkesanan suntikan vaksin Covid-19 akan menurun selepas beberapa bulan ia diterima. Terdapat beberapa kajian telah dilakukan dan menunjukkan tidak semua vaksin yang telah diberikan memberikan tahap keberkesanan jangka panjang yang sama. Oleh itu pemberian dos penggalak telah dimulakan di negara seperti Israel, UK dan Amerika Syarikat. Malaysia tidak ketinggalan dengan dos penggalak diberikan kepada golongan berisiko sejak bulan lalu.

Terkini Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengatakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan hanya memberikan dos penggalak kepada kumpulan yang disarankan sahaja. Antara golongan tersebut ialah individu berusia 60 tahun ke atas, petugas kesihatan barisan hadapan, mereka yang mempunyai komorbid dan yang berusia 40 tahun ke atas.
Golongan ibu-ibu mengandung, pekerja barisan hadapan industri penting dan mereka yang ingin ke luar negara untuk umrah misalnya juga disarankan menerima dos penggalak. Tiada cadangan memberikan dos penggalak kepada individu berusia antara 18-39 tahun kerana tiada data mengatakan ia diperlukan pada waktu ini. Bagi yang layak mereka tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran tambahan dan sekadar perlu menanti menerima notifikasi menerusi aplikasi MySejahtera.