Samsung menawarkan dua jenis peranti skrin boleh-lipat di pasaran. Samsung Galaxy Z Fold3 dengan skrin besar dan engsel menegak sementara Samsung Galaxy Z Flip3 pula dengan skrin kecil dan engsel mendatar. Kedua-dua peranti mempunyai pro serta kontra tersendiri tetapi nampaknya di masa hadapan elemen dari kedua-dua peranti mungkin digabungkan dalam sebuah peranti baharu.

Laman LetsGoDigital melaporkan Samsung dianugerahkan paten rekaan untuk sebuah peranti skrin boleh-lipat dengan skrin besar seakan Fold3 tetapi engsel mendatar seperti Galaxy Z Flip3. Dari imej pengolokan yang dihasilkan, peranti kelihatan seperti sebuah Surface Duo tetapi tidak menggunakan dua skrin berbeza.

Skrin luarnya juga lebih lebar dan tidak menyeluruh seperti yang digunakan pada Fold3. Ia lebih mirip Galaxy Z Fold asal yang masih mempunyai dahi serta dagu yang lebih besar. Tidak diketahui sama ada rekaan ini akan digunakan di masa hadapan kerana rekana Galaxy Z Fold3 kini sudah digunakan selama tiga generasi.