Carian
Meta Memperlihatkan Sarung Tangan Haptik Yang Membolehkan Objek Maya Disentuh Dalam Alam Meta
November 17, 2021 Effi Saharudin

Apakah kekurangan paling ketara dunia realiti maya? Jawapan yang saya berikan ialah objek di dalam dunia maya ini tidak dapat dirasa sentuhannya. Tanpa penglibatan deria sentuhan, pengalaman menyelam ke dalam dunia realiti maya terasa tidak amatlah palsu. Bagi memastikan alam meta mereka kelak akan dapat diselami secara lebih realistik, Meta Reality Labs Research memperlihatkan sarung tangan haptik yang membolehkan objek maya disentuh.

Sarung tangan ini mempunyai ratusan beg udara kecil pada permukaannya. Dengan menggunakan pam pantas, cecair boleh dimasukkan dan dikeluarkan dari ratusan sel gelembung bagi memberikan sensasi kulit sedang menyentuh sesuatu. Terdapat 15 aktuator diletakkan pada permukaan sarung tangan ini bagi memberikan pengalaman sentuhan yang sehampir mungkin kepada dunia sebenar.

Pada asalnya penyelidik di Reality Labs menggunakan aktuator fizikal tetapi mereka menyedari penggunaan ratusan motor elektrik untuk “menyentuh” kulit pemakai bukan sahaja tidak praktikal dan berat tetapi juga menghasilkan masalah pemanasan. Sistem gelembung cecair ini ialah penyelesaian yang paling sesuai pada waktu ini.

Dengan Meta yakin bahawa alam meta Horizon akan menjadi pengganti internet di masa hadapan, pengalaman yang lebih realistik perlu dibangunkan sekarang supaya fiksyen dalam filem seperti Ready Player One akan menjadi realiti dunia sebenar.

Komen