Akaun media sosial ialah milik dan adalah identiti peribadi. Sejak media sosial menjadi kewajipan bagi kebanyakan pengguna, fenomena membuka akaun walaupun anak masih sebesar biji sawi di dalam rahim sudah dipopularkan oleh golongan selebriti. Oleh itu jika akaun digodam dan dicuri, sebahagian identiti diri boleh terpadam selama-lamanya. Instagram sebagai antara platform media sosial paling popular kini dilihat sedang menguji sistem pengesahan identiti pengguna dengan mengambil video swafoto.
Sistem pengesahan identiti dengan video swafoto disedari oleh Matt Navara seorang perunding media sosial. Pengguna perlu memusingkan kepala ke semua arah seperti proses merekodkan Face ID. Instagram meletakkan notis bahawa video yang diambil tidak dapat dilihat pengguna lain dan kemudiannya dipadam dalam masa 30 hari. Dengan sistem ini, Instagram boleh mengesahkan pemilik akaun adalah manusia sebenar dan memastikan akaun dapat dipulangkan semula kepada pengguna jika digodam.
Pengambilan video swafoto ini menerima kritikan hebat di media sosial kerana hanya beberapa minggu yang lalu Meta berkata mereka telah menyahaktifkan sistem pengecaman wajah di Facebook dan kesemua data pengguna dipadam. Namun begitu dalam kenyataan yang sama mereka ada menyentuh bahawa teknologi pengecaman wajah masih akan dibangunkan untuk situasi pengesahan identiti di masa hadapan.