Cari @ Amanz

Oppo Reno adalah siri yang memfokuskan kepada kemampuan kamera yang baik. Boleh dilihat, kebanyakan peranti di bawah siri ini membawakan pelbagai ciri fotografi menarik. Ia betujuan bagi memberikan pengalaman penggambaran lebih baik buat pengguna. Misalnya, Oppo Reno6 5G.

Oppo Reno6 5G dilengkapi tri-kamera dengan tetapan 64MP (utama) + 8MP (Ultra-lebar) + 2MP (makro). DxoMark kini telah mengeluarkan keputusan skor kamera utama untuk peranti ini. Melaluinya, ia berjaya mencatatkan kutipan markah sebanyak 107 mata secara keseluruhannya. Ini sekaligus memposisikannya setanding dengan ZTE Axon 30 Ultra yang berharga RM3,599 di Malaysia. Kemudian, ia berada di belakang OnePlus Nord yang dilancarkan tahun lalu.

Pecahan markah adalah 112 mata untuk keupayaan gambar, 44 mata pula untuk zum dan 98 mata untuk rakaman video. Menurut DxoMark, kamera utama Oppo Reno6 5G mempunyai pendedahan yang baik dalam pencahayaan terang dan bokeh. Sistem autofokus juga tepat untuk foto dan video. Imej pratonton adalah serupa dengan tangkapan yang dibuat. Tidak ketinggalan, ia juga mempunyai penstabilan video yang efektif dan kebolehan mengawal hingar dengan baik untuk rakaman video pada pencahayaan cukup.

Kritikan pula diberikan pada penghasilan warna yang kurang tepu dalam tangkapan foto dan rakaman video. Butiran kurang memuaskan untuk sesetengah keadaan. Seterusnya, hingar yang ketara untuk hasil gambar zum dan rakaman video dalam pencahayaan rendah. Kemudian, ia juga mempunyai pendedahan yang kurang stabil untuk rakaman video.

Bagi yang berminat, Oppo Reno6 5G dijual di Malaysia pada harga RM2,399. Terdapat dua pilihan warna yang disediakan seperti Aurora dan Stellar Black. Selain daripada itu, anda juga mendapatkan Oppo Reno6 Pro yang berharga RM2,999 atau Oppo Reno6 Z pula dijual pada RM1,699.

Sumber : DxOMark

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd