Oktober lalu, Apple telah melancarkan MacBook Pro 14″ dan 16″ baharu. Ia adalah variasi lebih berkuasa menyasarkan penggunaan golongan profesional. Kedua-dua komputer riba ini dijana dengan cip Apple M1 Pro dengan memori sehingga 32GB RAM dan cip Apple M1 Max dengan memori sehingga 64GB RAM.
Kedua-dua MacBook Pro ini menggunakan mini-LED dengan sokongan kadar segar semula tinggi ProMotion 120Hz dan kecerahan mencapai 1600 nits. Hadir dengan port yang pro seperti sambungan seperti 3x Thunderbolt 4, HDMI, bicu audio dan juga mengembalikan pengecasan kegemaran ramai MagSafe.
Resolusi skrin juga adalah lebih tinggi dengan jumlah DPI lebih banyak, 3024 x 1964 pada model 14″ dan . Rekaan bezel juga adalah jauh lebih nipis sekitar 24%-60%. Bercakap mengenai skrin, MacBook Pro kali ini turut mempunyai takuk tanpa sokongan FaceID – tetapi untuk kamera web 1080p.
MacBook Pro baharu ini juga menyokong suntingan video 8K tanpa menggunakan pengecas, bateri sehingga 17 jam untuk model 14″ dan 21 jam untuk model 16″ dengan sokongan pengecasan pantas 50% dalam masa 30 minit sahaja. Pembesar suara adalah 2x ganda lebih besar dan Apple turut menyertakan sokongan Spatial Audio.
Selepas hampir sebulan menanti, bagi yang berminat anda sudah boleh membeli kedua-dua MacBook Pro ini hari ini. Harga jualan bagi MacBook Pro 14-inci bermula dari RM8799, manakala MacBook Pro 16-inci bermula pada RM10799. Pilihan memori adalah mencapai 64GB RAM dan 8TB SSD. Penghantaran adalah bermula 23 November sehingga 25 November, yang mana agak pantas.