Huawei Watch GT Runner Dilancarkan Dengan Bateri Bertahan Sehingga 14 hari

Diterbitkan pada Nov 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Huawei Watch GT Runner, seutas peranti boleh-pakai keluaran Huawei yang dikhususkan buat para pelari sama ada pemula atau professional. Ia hadir dengan rekaan jam tangan bermuka bulat bersama tombol berputar dan butang fizikal seakan Huawei Watch GT 3. Dari segi binaan, ia diperbuat daripada bahan gentian komposit tahan karat bersama tali silikon antibakteria.

Untuk spesifikasi khusus, Huawei Watch GT Runner dilengkapi skrin berukuran 1.43-inci AMOLED dengan sokongan skrin sesentuh. Ia juga menjalankan versi terkini HarmonyOS untuk pengalaman lebih baik dengan sokongan untuk muat-turun pelbagai aplikasi pihak ketiga. Selain itu, ia juga mempunyai kebolehan GPS, Beidou, GLONASS, Galileo dan sistem satelit QZSS untuk isyarat kedudukan lebih tepat.

Bateri disertakan mampu bertahan mencapai 14 hari untuk penggunaan biasa. Kemudian, ia berkurang kepada 7 hari dalam penggunaan yang berat. Tidak ketinggalan, ia juga menyokong pengecasan secara nirwayar. Bagi pelari tegar, ia turut dilengkapi fungsi yang memberi manfaat cukup baik. Misalnya seperti Running Ability Index (RAI) bagi mengukur tahap ketahanan berdasarkan kadar degupan jantung. Seterusnya, Intelligent Dynamic Adjustment Plan pula membolehkan pengguna menyediakan pelan latihan berdasarkan maklum balas daripada RAI.

Dari segi fungsi, ia hadir dengan sejumlah sensor terbina untuk pemantauan lebih baik termasuk – sensor kadar denyutan jantung berteknologi TrueSeen 5.0, SpO2 untuk pengesanan ketepuan oksigen dalam darah, 100 mod sukan berbeza dan sebagainya. Ia juga mempunyai mikrofon dan pembesar suara terbina untuk kebolehan menjawab panggilan secara terus daripada jam tangan.

Lain-lain spesifikasi termasuklah – NFC, ketahanan air pada tekanan 5ATM, port pengecasan magnetik dan sebagainya. Huawei Watch GT Runner dijual di China pada harga RMB 2188 (~RM1,434). Ia juga akan tiba ke pasaran tempatan pada minggu ini. Seperti biasa, kami di Amanz akan berkongsi lanjut mengenai penawarannya sebaik sahaja jam tangan ini diumumkan secara rasmi oleh Huawei Malaysia kelak.

Sumber : Huawei China

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami