Tidal adalah platform penstriman muzik yang terkenal dengan menawarkan kualiti audio tinggi mirip rakaman daripada studio. Ia juga antara pelan langganan yang mahal kerana mampu menawarkan kualiti tinggi pada katalog melebihi 80 juta muzik.
Terkini buat pertama kalinya, Tidal mula menawarkan pelan percuma. Melalui pelan ini, pengguna akan masih boleh menerima penstriman pada kualiti mencapai 160kbps iaitu kualiti High seakan yang ada pada Spotify. Pengguna turut akan menerima akses kepada kesemua lebih 80 juta katalog, senarai main yang telah dipilih oleh kurator Tidal dan sudah semestinya dengan iklan.
Selain itu, Tidal turut mengemaskini pelan HiFi kepada dua bahagian iaitu HiFi dan HiFi Plus. HiFi menawarkan penstriman pada kualiti mencapai 1411 kbps yang jauh lebih tinggi. Pengguna akan menerima laporan data penstriman, muat turun untuk pendengaran luar talian dan ada iklan dengan kemampuan melangkau muzik tanpa had. Harga langganan pelan ini adalah $9.99 iaitu sekitar RM42 sebulan.
Bagi pelan HiFi Plus pula yang ditawarkan pada $19.99 sebulan iaitu sekitar RM84, pengguna akan menerima akses kepada kualiti berkali ganda lebih tinggi iaitu mencapai 9216 kbps. Pengguna boleh strim daripada kualiti nirhilang dan Master (MQA). Tidal turut menawarkan laporan pembayaran kepada artis, royalti berasaskan peminat dan Tidal akan membayar artis pada setiap kali muzik distrim.
HiFi Plus ini adalah pelan yang membantu artis menjana pendapatan, yang mana Tidal akan membayar 10% kepada artis daripada harga bayaran bulanan pengguna.
Buat masa ini, Tidal hanya menawarkan pelan-pelan ini kepada pengguna di Amerika Syarikat dan tiada sebarang indikasi bila ia akan diperluaskan ke pasaran luar.