Carian
Kereta Ultra Chaos Dengan Enjin 3000 HP Menjanjikan Kelajuan Mencecah 500 km/j
November 18, 2021 Effi Saharudin

Apakah kelajuan maksimum pernah anda capai pada sebuah kereta? Saya secara peribadi hanya sehingga 160 kmj semasa zaman muda remaja dengan sel otak belum bersambung sepenuhnya. Bagi peminat kereta hiper prestasi melampau, Spyros Panopoulos Automotive Chaos telah diumumkan dengan kemampuan bergerak pada kelajuan mencecah 500 km/j.

Kereta Chaos ini memang sesuai dengan nama diberi kerana dilengkapi enjin petrol empat liter V10 yang mampu memberikan 3000 kuasa kuda. Ini membolehkan ia mencatat masa 1.55 saat untuk memecut dari 0-100 kmj. Kerana prestasi yang amat melampau ini, Spyros Panopoulos Automotive berkata Chaos ialah kereta ultra pertama di dunia.

Bagi membolehkan kelajuan melampau ini dicecah, kereta menggunakan komponen yang hampir semua menggunakan cetakan 3D. Dari komponen brek, pemegangan lampu, stereng, aci engkol dan blok enjin menggunakan cetakan 3D. Bahan eksotik titanium dan magnesium digunakan bagi mengurangkan berat kenderaan Hasilnya ialah Chaos hanya seberat 1,272 kg – 262kg sahaja lebih berat berbanding sebuah Perodua Myvi 1.5 AT 2018.

Terdapat juga sokongan rangkaian 5G dan set kepala realiti maya yang boleh dipakai oleh penumpang. Apakah kegunaannya tidak pula diperincikan tetapi ini adalah selari dengan statusnya sebagai sebuah kereta ultra. Spyros Panopoulos Automotive Chaos dijual pada harga €12.4 juta (~RM 59 juta) untuk edisi Zero Gravity yang paling melampau atau hanya €5.5 juta (~RM 26 juta) untuk edisi biasa dengan enjin 2000 hp.

Komen