Cari @ Amanz

Siri Komputer Riba ASUS Vivobook Terbaru Dengan Paparan OLED, Intel Tiger Lake Kini Dijual Pada Harga Permulaan RM2799

Oleh Nazrin

Link Copied!

Apabila bercakap mengenai komputer riba produktiviti yang memfokuskan kepada industri kreatif profesional, komputer riba yang ditawarkan di pasaran untuk sektor ini secara lazimnya mempunyai tanda harga yang tinggi kerana keperluan spesifikasi yang berkuasa, dan juga gabungan paparan skrin yang perlu memenuhi piawaian-piawaian yang tertentu untuk memastikan olahan warna yang jitu.

Walaupun begitu, ASUS kini menawarkan pilihan baru dan mampu-milik untuk golongan ini melalui ASUS Vivobook, dimana mereka dilihat menawarkan model-model ASUS Vivobook Pro 14X OLED, ASUS Vivobook Pro 15 OLED dan ASUS Vivobook 15 OLED yang mana kesemuanya hadir dengan spesifikasi komponen berkuasa, paparan skrin menggunakan panel OLED dan pelbagai penawaran lain yang memfokuskan kepada keperluan kreatif pengguna.

Bermula dengan ASUS Vivobook Pro 14X OLED, komputer riba ini dilengkapi dengan paparan skrin OLED bersaiz 14 inci dengan resolusi 2.8K dengan nisbah aspek paparan 16:10, nilai kecerahan 600 nit yang menjadikannya paparan dengan sokongan HDR600 dan boleh memaparkan 100 peratus gamut warna DCI-P3, yang secara lazimnya digunakan untuk menggred warna video filem di Hollywood dan sebagainya.

Dari segi spesifikasi, Vivobook Pro 14X OLED ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-11300H, memori DDR4 sebanyak 16GB, storan SSD NVMe 512GB dan hadir dengan penawaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050 untuk tujuan mengolah video yang lebih pantas menggunakan perisian-perisian tertentu.

Satu ciri tambahan yang hadir pada Vivobook Pro 14X OLED ialah ASUS DialPad, iaitu dimana bahagian pad sesentuh komputer riba ini boleh ditukar menjadi pengawal roda untuk memudahkan tugas menggred warna sesebuah video.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ini sudahpun mula ditawarkan di pasaran tempatan untuk tanda harga RM4799.

Model kedua ialah ASUS Vivobook Pro 15 OLED yang dikuasakan oleh tiga pilihan CPU AMD Ryzen 5000. Ia hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 15 inci dengan resolusi Full HD.

Ia dikuasakan oleh pilihan CPU AMD Ryzen 9 5900H, Ryzen 7 5800H ataupun Ryzen 5 5600H. Kesemua model-model ini juga hadir dengan penawaran memori DDR4 16GB ataupun 8GB dan storan dalaman SSD NVMe 512GB. Dari segi GPU pula, kesemua model Vivobook Pro15 OLED ini hadir dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3050.

Sama seperti Vivobook Pro 14X OLED, Vivobook Pro 15 OLED ini sudahpun mula dijual di pasaran sekarang pada tanda-tanda harga berikut:

  • ASUS Vivobook Pro 15 OLED (Ryzen 9) – RM5199
  • ASUS Vivobook Pro 15 OLED (Ryzen 7) – RM4799
  • ASUS Vivobook Pro 15 OLED (Ryzen 5) – RM4299

Untuk mereka yang mahukan penawaran komputer riba yang lebih mampu milik, tetapi masih lagi hadir dengan paparan skrin OLED, ASUS Vivobook 15 OLED mungkin untuk anda. Dilengkapi dengan paparan OLED NanoEdge 15 inci dengan resolusi Full HD, ia juga hadir dengan kebolehan untuk memaparkan 100 peratus gamut warna DCI-P3.

Dari segi spesifikasi dalaman, ia dikuasakan pilihan CPU AMD Ryzen 7 5700U, Ryzen 5 5500U dan Intel Core i3-1115G4 dengan pilihan memori DDR4 8GB untuk model dengan CPU AMD dan juga 4GB untuk model dengan CPU Intel.

Untuk mereka yang mahukan sebuah komputer riba produktiviti kreatif dengan tanda harga mampu milik, mereka pastinya mahu mendapatkan komputer riba ini.

  • ASUS Vivobook 15 OLED (Ryzen 7) – RM3499
  • ASUS Vivobook 15 OLED (Ryzen 5) – RM3199
  • ASUS Vivobook 15 OLED (Core i3) – RM2799

Komen ()