Rangkaian peranti Xiaomi di bawah siri MIX sering memberi tumpuan kepada reka bentuk unik, di samping pelbagai teknologi serta inovasi yang baharu. Selepas lama menyepi, Xiaomi kini kembali dengan penawaran baharu untuk rangkaian berkenaan menerusi pengenalan Xiaomi MIX 4. Tidak seperti pendahulunya, Xiaomi mengambil pendekatan baharu pada peranti ini menerusi penggunaan teknologi Camera Under Panel (CUP). Ini adalah konsep yang sama digunakan pada beberapa seperti Samsung Galaxy Z Fold3 dan ZTE Axon 30 5G.

Menurut Xiaomi, kamera yang digunakan pada peranti ini adalah daripada generasi ketiga. Ia dibangunkan oleh jurutera mereka sendiri dan prosesnya memakan masa sehingga lima tahun yang melibatkan 60 puluh paten serta lebih daripada $77 million (~RM326 juta) pelaburan. Seperti kebanyakan telefon pintar utama mereka yang lain, Xiaomi MIX 4 juga adalah eksklusif untuk pasaran China sahaja. Sungguhpun begitu, kami di Amanz telah diberi peluang untuk meneroka dan melihat peranti tersebut dengan mata sendiri. Jadi dalam artikel ini, kami akan berkongsi beberapa perkara yang perlu anda tahu mengenai Xiaomi MIX 4.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Telefon Pintar | Xiaomi MIX 4 |
Skrin | 6.67-inci AMOLED 120Hz, FHD+ (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi) |
Pemproses | Snapdragon 888+ 5G (5nm) 1 x 2.99 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 |
Cip Grafik | Adreno 660 |
RAM | 8GB RAM |
Muatan Dalaman | 128GB/256GB ROM |
Kamera Utama | Utama – 108MP (f/1.9) Telefoto, Periskop – 8MP (f/4.1) Ultra-lebar – 13MP (f/2.2) |
Kamera Swafoto | 20MP |
Bateri | 4,5000mAh 120W Flash Charge |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano |
NFC | Ada |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi Imbasan Wajah |
Harga Jualan | Tidak dijual di Malaysia |
Sistem Kamera Bawah Skrin
Xiaomi MIX 4 dilengkapi kamera swafoto 20MP yang menggunakan sensor 1.6μm 4-in-1 Super Pixel bagi menangkap lebih banyak cahaya. Penggunaan teknologi berlian makro pula telah mengurangkan saiz piksel, sekaligus meningkatkan kecerahan. Jadinya, pengguna dikatakan mampu menangkap gambar swafoto dengan jelas tanpa gangguan. Dalam pada itu, kamera tersebut juga hampir tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Melainkan ia diteliti dengan baik pada sudut tertentu, anda akan nampak samar-samar satu lubang kecil untuk kamera. Tetapi, tidak begitu jelas. Ia agak menarik kerana keadaan ini adalah berbeza dengan model Samsung Galaxy Z Fold3 dan ZTE Axon 30 5G. Meskipun kedua-dua peranti berkenaan turut dilengkapi penggunaan teknologi kamera bawah skrin, namun lubang kameranya masih boleh nampak dengan mata kasar.

Di kesempatan ini, kami juga telah mencuba sendiri pengalaman mengambil gambar swafoto dengan Xiaomi MIX 4. Kami perasan, pratonton pada aplikasi kamera adalah berbeza dengan penghasilan gambar akhir. Di mana, pratonton menunjukkan imej yang agak kabur bersama warna yang kurang bermaya. Terutamanya, tangkapan gambar yang dibuat dalam pencahayaan terang. Namun begitu, gambar yang diambil akan menjalani pasca-proses yang agresif bagi menjadikannya lebih baik.
Situasi ini jelas menunjukkan perisian Xiaomi memainkan peranan penting dan prosesnya turut boleh dilihat secara nyata. Namun kami berpendapat, kebolehan kamera kurang memuaskan dengan penghasilan semula imej yang nampak lembut. Gambar juga tidak cukup tajam dan penghasilan semula warna kelihatan kekuningan. Pada masa sama, blooming juga agak ketara untuk tangkapan gambar dengan sumber cahaya terang. Ini jelas menunjukkan teknologi kamera UDC masih belum cukup matang.

Sungguhpun begitu, kalau dibandingkan dengan hasil gambar di antara Xiaomi MIX 4, Samsung Z Fold3 dan ZTE Axon 30 5G. Hasil gambar yang diambil menerusi Samsung Z Fold3 jelas menunjukkan kebolehan lebih baik. Meskipun tidak sempurna tetapi ia masih menunjukkan gambar dengan hasil yang lebih sedap mata memandang. Akan tetapi, tidak adil rasanya untuk kita terus menghakiminya buat masa sekarang. Kami berharap teknologi ini akan ditambah-baik pada masa mendatang. Tambahan pula, Oppo baru-baru ini telah memperlihatkan teknologi USC generasi baru yang yang dipertingkatkan dengan bantuan algoritma perisian tersendiri.
Kamera 108MP Samsung ISOCELL Bright HMX
Xiaomi menyertakan sistem tri-kamera pada peranti ini. Lensa utama adalah 108MP yang menggunakan sensor Samsung ISOCELL Bright HMX bersama sensor kamera bersaiz 1/1.33-inci. Seterusnya, sensor telefoto 8MP yang menyokong zum optikal 5X dan zum digital mencapai 50X. Akhir sekali, ia juga dibekalkan sensor 13MP khusus untuk kebolehan ultra sudut lebar. Peranti juga mempunyai kebolehan merakam video pada tetapan 4K 30FPS tanpa masalah.

Pada hemat kami, peranti menunjukkan kebolehan kamera utama yang baik. Penghasilan semula imej nampak tajam dengan warna yang bermaya. Tetapi, hingar mula kelihatan apabila gambar mula di zum. Pun begitu, ia masih sesuai untuk dikongsikan terus ke platform media sosial tanpa keperluan untuk suntingan yang berlebihan. Kebolehan sensor telefoto pula menunjukkan kebolehan zum terbaik sehingga 10X. Jika selebihnya, anda akan perasan gambar yang terhasil kelihatan mula pecah dan kabur.







Seterusnya, kebolehan sudut-lebar turut memberikan hasil yang boleh diterima tetapi penghasilan gambar yang lembut. Kemudian, imej yang diambil pada pencahayaan rendah pula menunjukkan kesan hingar agak ketara – meskipun mod malam terbina diaktifkan. Dalam sesetengah keadaan juga sumber cahaya dilihat menjadi terlalu terang.

Cip Snapdragon 888+ Yang Berkuasa
Xiaomi MIX 4 dijana oleh Snapdragon 888+ dan ia merupakan peranti pertama yang menggunakannya sewaktu awal pengenalannya dahulu. Snapdragon 888+ adalah antara cip pemproses yang paling berkuasa untuk platform Android buat masa ini. Ia menawarkan rekaan 5nm bersama kehadiran cip lapan teras melalui pembahagian tiga kluster berlainan untuk penggunaan tertentu. Selain daripada prestasi CPU lebih baik, pemproses kecerdasan buatan pada Snapdragon 888+ turut menunjukkan peningkatan sehingga 20% lebih berkuasa.

Tidak dinafikan, ia bukan sahaja membolehkan permua dilancarkan dengan lancar, malahan proses penggunaan harian juga boleh dilakukan tanpa sebarang masalah. Apa yang boleh kami katakan, aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas, tatalan juga lancar terutamanya mod skrin 120Hz diaktifkan. Pun begitu, kami mendapati peranti menjadi mula memanas pada bahagian kamera sewaktu bermain permua beberapa sesi. Tetapi, ia tidaklah sehingga menjejaskan pengalaman penggunaan sewaktu permua. Seperkara lagi, terdapat juga beberapa mod prestasi untuk peranti yang disediakan seperti Power Mode, Balanced Mode dan Performance Mode. Pun begitu, mengaktifkan Performance Mode akan mengakibatkan peranti memanas berbanding kebiasaan.

Sedikit perkongsian mengenai sokongan tetapan untuk permua. Mobile Legend Bang Bang boleh dimainkan mencapai grafik Ultra bersama HF dan HDR yang diaktifkan. Permainan Genshin Impact pula menyokong grafik medium dengan kadar bingkai 30fps secara lalai. COD pula boleh dimainkan dengan tetapan tertinggi grafik Very High pada kadar bingkai Max. Kemudian, tetapan tertinggi untuk PUBG pula boleh mencapai grafik Ultra HD dengan kadar bingkai Ultra.
Pengecasan Adi Pantas 120W & Nirwayar 50W
Tidak dinafikan, kapasiti bateri besar adalah tidak memadai tanpa sokongan pengecasan pantas. Fungsi ini telah menjadi antara fungsi penting dalam sesebuah peranti pintar masa kini. Ia membolehkan peranti dicas dalam tempoh masa yang singkat, maka anda tidak perlu menunggu lama lagi. Begitu juga dengan Xiaomi MIX 4 yang dilengkapi sokongan pengecasan pantas 120W. Melaluinya, Xiaomi menjanjikan bateri 4,500mAh pada Xiaomi MIX 4 boleh dicas penuh sehingga 100% dalam masa 21 minit secara lalai. Pada masa sama, masa pengecasan ini juga dikatakan boleh berkurang pada sekitar 15 minit apabila Boost Mode diaktifkan.

Dari pengalaman kami sendiri, bateri daripada 4% boleh dicas penuh dalam kiraan masa sekitar 25 minit. Ini adalah ujian pengecasan secara lalai. Nampaknya, dakwaan Xiaomi tersebut bukanlah langsung tidak berasas, sebaliknya ia hampir tepat. Apa yang pasti, ia sememangnya mampu menjanjikan masa pengecasan yang pendek. Selain daripada itu, peranti turut dibekalkan sokongan pengecasan nirwayar dengan output 50W yang mengambil masa sekitar 28 minit untuk pengecasan semula. Sungguhpun begitu, kami tidak pula mengujinya kerana tidak mempunyai pengecas khusus.

Bagi mengenai ketahanan bateri pula, perlu kami katakan ianya bergantung pada penggunaan masing-masing. Pun begitu, pengalaman singkat kami mendapati draf bateri menunjukkan penurunan yang agak drastik pada penggunaan ekstrem. Dengan skrin 120Hz yang diaktifkan, kami mendapati peranti hanya mampu bertahan hampir 5 jam sahaja. Sungguhpun begitu, jangka hayat ini berubah menjadi lebih panjang mencapai 13 jam dalam penggunaan biasa. Pada masa sama, skrin juga ditetapkan pada kadar segar semula standard 60Hz.
Skrin AMOLED 120Hz
Secara asasnya, skrin AMOLED mempunyai olahan warna yang baik berbanding LCD. Persembahan kandungan visual kelihatan cantik dengan penghasilan warna hitam yang benar-benar gelap sepenuhnya. Xioami MIX 4 adalah salah sebuah peranti yang dibekalkan dengan skrin berteknologi ini. Lebih menarik, skrin turut menyokong kadar segar semula mencapai 120Hz yang menyajikan pengalaman tatalan cukup lancar.

Akan tetapi, penggunaan mod 120Hz secara berpanjangan pastinya mengakibatkan jangka hayat bateri menjadi pendek. Bagaimanapun, ia masih boleh diubah pada kadar segar semula standard 60Hz yang lebih baik untuk jangka hayat bateri lebih panjang. Secara amnya, ia langsung tidak menunjukkan sebarang masalah. Tatalan juga baik dengan peralihan animasi yang lancar – baik digunakan untuk aktiviti harian biasa mahupun permua.
Tetapi kekurangan ketara terletak pada sokongan kadar segar semula yang terhad pada dua tetapan sahaja iaitu 60Hz dan 120Hz. Tiada langsung tetapan sokongan kadar segar semula yang berubah secara automatik seperti kebanyakan peranti di pasaran. Bagaimanapun, ia bukanlah suatu isu yang besar untuk dipertikaikan. Cuma kalau adanya pilihan tersebut pasti akan lebih menyeronokkan.

Seperkara lagi, penggunaan skrin yang melengkung menimbulkan sedikit ralat pada kami. Ini disebabkan oleh berlakunya isu skrin melimpah sewaktu menonton kandungan video dalam mod skrin penuh. Sungguhpun begitu, pengalaman penggunaan untuk skrin sesentuhnya boleh dipuji kerana ia langsung tidak mengakibatkan isu skrin tersentuh secara tidak sengaja.
Kesimpulan

Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa kewujudan Xiaomi MIX 4 tidak ditujukan buat penggunaan gaya hidup. Sebaliknya, ia lebih kepada pengalaman penggunaan yang baik. Ianya hebat menerusi janaan cip Snapdragon 888+ yang berkuasa dan skrin 120Hz yang lancar. Kebolehan utama adalah cemerlang untuk kebanyakan situasi. Akan tetapi, keadaan ini tidak berlaku untuk kamera swafoto. Di sini, teknologi yang digunakan masih belum matang dalam memberikan hasil yang memuaskan. Perlu kami akui, Xiaomi MIX 4 adalah peranti yang hebat – baik dari segi dalaman mahupun luaran. Tapi sayangnya, ia tidak ditawarkan untuk pasaran tempatan.
Pro
- Skrin AMOLED 120Hz yang cantik bersama prestasi memuaskan.
- Cip Snapdragon 888+ yang berkuasa.
- Kamera utama dengan kebolehan penghasilan semula gambar yang baik.
- Pengecasan Adi pantas 120W yang memendekkan waktu pengecasan semula peranti.
- Pembesar suara stereo yang dioptimumkan oleh Harmon Kardon.
- Teknologi Ultra Wideband (UWB) memfokuskan pada kawalan peranti berhubung untuk rumah pintar.
Kontra
- Skrin melengkung yang mengakibatkan isu skrin melimpah ke sisi.
- Sistem kamera di bawah skrin yang belum cukup matang.
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Tidak ditawarkan untuk pasaran di luar China.