Cari @ Amanz

Semalam baru sahaja kami melaporkan yang Google Meet mula menyokong penganjuran mesyuarat sehingga 500 orang peserta secara serentak. Ia dihadkan kepada pengguna berbayar sahaja buat masa ini, dengan pengguna percuma terhad kepada 100 orang peserta sahaja.

Sebentar tadi, Google mengumumkan sokongan beberapa latar belakang baharu pula. Latar belakang yang ditawarkan kali ini adalah berbeza dengan sebelum ini. Ia bukan sahaja boleh bergerak dengan animasi, sebaliknya jenis imersif dan realistik dengan kemampuan mengubah pencahayaan.

Antara latar belakang yang ditawarkan adalah lokasi di kafe atau dalam kondo dengan pencahayaan bertemakan salji, hujan, musim panas dan banyak lagi. Menurut Google ia akan memudahkan pengguna memadankan suasana mengikut zon masa berbeza. Google turut menambah lebih banyak latar belakang bercorak lain bersama-sama dengan penuras untuk menepati citarasa berbeza setiap pengguna.

Buat masa ini, latar belakang ini dihadkan kepada pengguna Google Workspace, G Suite Basic serta G Suite Business pada versi web. Ia akan diedarkan bermula hari ini dan 2 Disember secara berperingkat tanpa sebarang pengumuman bilakah pengguna biasa dan peranti mudah alih dapat menikmatinya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd