Selepas Facebook mengubah nama kepada Meta dan mengumumkan yang mereka mengambil langkah lebih serius dalam pembangunan alam maya, lebih ramai yang turut ingin mengikuti mereka dalam dunia Metaverse. Terkini, Nike pula telah mengumumkan Nikeland dengan kerjasama bersama-sama dengan Roblox.
Melalui Nikeland, semua peminat produk Nike dapat berhubung antara satu sama lain di seantero dunia, mencipta sesuatu, berkongsi dengan pengguna lain serta bertanding dalam alam maya ini.
Nikeland dibina berasaskan ibu pejabat Nike. Pengguna yang menyertai alam maya ini boleh bermain permainan mini seperti tag, the floor is lava atau dodgeball bersama rakan-rakan. Nike turut menawarkan alatan untuk pengguna mencipta permainan mini tersendiri.

Pengunjung alam maya Nike ini turut boleh menggunakan telefon pintar masing-masing untuk mengawal avatar masing-masing seperti bergerak ke sana dan ke sini, melompat dan berlari. Mereka yang terpilih dan layak turut akan menerima reben biru dan pingat emas jika menang sesuatu atau mencipta sesuatu yang kreatif.

Nike turut bekerjasama dengan Snapchat untuk “lensa” yang membenarkan pengguna menggunakan aplikasi ini untuk melihat Nikeland dalam dunia realiti terimbuh.