Aksesori audio untuk permainan video bukannya sesuatu yang baru. Biasanya pemain akan mempunyai set fon kepada dan mikrofon untuk tujuan menstrim atau berkomunikasi dalam komuniti serta untuk tujuan menstrim. Tetapi selepas trend telefon pintar gaming serta pengeluaran TWS semakin menjadi-jadi, pengeluar produk gaming turut ingin menawarkan sesuatu yang lebih kurang sama.
Black Shark yang sedia terkenal dengan produk pada harga mampu milik, baru-baru ini telah mula menjual Black Shark Lucifer T1 iaitu TWS mampu milik khusus untuk ini. Selepas menggunakannya beberapa minggu, ini adalah apa yang kami rasakan mengenai produk audio Black Shark ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
Black Shark Lucifer T1 | |
---|---|
Jenis | Fon dalam telinga |
Pemacu Audio | 10mm |
Mikrofon | Tidak Dinyatakan |
Lain-Lain | Mod masa sela rendah |
Bateri | 3.5 jam berterusan 35 jam dengan pod pengecas |
Tambatan | Bluetooth 5.2 |
Pengecasan | USB-C |
Sokongan aplikasi | Tiada |
Kawalan | Sesentuh |
Kemampuan kalis air | IPX4 |
Harga Jualan | RM169 |
Black Shark Lucifer T1 adalah TWS asas yang ditawarkan oleh mereka untuk dijual pada harga mampu milik. Ia terlampau asas dan tidak terlibat dalam ekosistem Black Shark yang sedia ada. Fokus utama TWS ini adalah untuk menawarkan kemampuan masa sela rendah sehingga 55ms dengan 10mm pemacu audio pada harga tidak mencapai RM200 pun.
Sambungan adalah Bluetooth 5.2, mempunyai perlindungan kalis air IPX4, menyokong kawalan sesentuh untuk mod muzik dan mod permua, dan merupakan set fon telinga nirwayar sebenar pada harga mampu milik.
TWS ini turut direka agar kelihatan ranggi, dengan tema warna hijau Black Shark. Ia dibina daripada plastik untuk pod pengecas dengan rekaan sedikit lutsinar, manakala pada fon telinga ia direka dengan saiz yang kecil dan selesa di dalam telinga. Ketahanan bateri pula adalah 3.5 jam penggunaan berterusan dan 35 jam dengan pod pengecas. Pengecasan pula adalah dengan USB-C.
Saiz yang kompak ini mudah disimpan di dalam kocek. Binaannya tidak begitu premium dan memang boleh rasa ia adalah produk mampu milik yang memfokuskan rekaan dan pengalaman bermain permua pada harga yang tidak koyak poket.
Kualiti Audio
Bass/Lows
Bass pada TWS ini agak kuat dan berlebihan, menjadikan pengalaman pendengaran sedikit kurang enak kerana tidak dapat mendengar butiran lain dengan baik. Ia kemudiannya tidak mempunyai definisi bass yang baik dan kedengaran seakan kosong dan tersebar secara luas atau mudah dikatakan adalah ia mempunyai bass yang lompong.
Vokal/Mids
Untuk vokal pula, ia tidak begitu enak dan seakan berada jauh dengan telinga pengguna. Disebabkan bass yang berlebihan tadi, vokal turut terlindung yang menjadikannya tiada impak yang menarik. Tidak kira suara lelaki atau wanita, ia akan memberikan satu pengalaman pendengaran yang tidak memuaskan.
Nada Tinggi/Highs
Sekali lagi, disebabkan bass yang terlampau kuat dan tiada aplikasi tersendiri untuk mengawalnya – bunyi nada tinggi seakan tidak sampai. Ia sudah baik dan sedap. Bunyinya terang dan hampir memberikan satu impak, tetapi ia tidak begitu konsisten dan hanya sesetengah muzik sahaja dapat memanfaatkan kemampuan pada TWS ini.
Pementasan Audio & Pengasingan
Walaupun pengguna boleh menggunakan equalizer daripada aplikasi pentsriman muzik atau aplikasi media pihak ketiga, set fon telinga nirwayar sebenar ini tidak mempunyai kemampuan yang hebat agar perubahan ketara dapat dibezakan. Disebabkan itu, ia tidak mempunyai pementasan audio yang baik. Setiap instrumen seakan berada dalam satu bilik kecil dan sempit menjadikan instrumen tidak dapat dibezakan.
Walaupun begitu, instrumen masih berjaya diasingkan daripada vokal memberikan sedikit nilai positif pada TWS ini.
Mod Sela Masa Rendah
Seperti kebanyakan set fon telinga nirwayar sebenar gaming, mod permua akan mengaktifkan ciri sela masa rendah. Memberikan pengguna satu pengalaman penggunaan yang menarik ketika bermain permua aksi atau yang pantas. Dengan bass yang berlebihan tadi, ia menjadikan bunyi tembakan atau letupan lebih sedap dan mendebarkan.
Sayang sekali, mod ini apabila digunakan akan mengorbankan kualiti bunyi yang dimainkan daripada platform penstriman muzik. Menggunakan mod ini juga perlu diaktifkan dengan sentuhan beberapa kali di tangkai fon telinga. Tetapi apabila bermain permua, mod sela masa rendah 55ms ini sedikit membantu memberikan pengalaman bermain permua yang lebih mengasyikkan.
Bunyi tembakan sedikit lebih cekap untuk dikesan oleh telinga, berbanding dengan tidak menggunakannya. Cuma ia tidak sehebat mana dan sesuai dengan harga jualannya.
Mikrofon
Mikrofon pada Black Shark Lucifer T1 ini dilihat agak asas sahaja. Sekadar untuk menjawab panggilan telefon ketika sedang bermain permua, berkomunikasi dengan rakan ketika bermain baik-baik sahaja. Suara cukup jelas, cuma ia tidak mempunyai apa-apa sistem pintar seperti algoritma pembatalan hingar persekitaran dan sebagainya.
Kawalan
Disebabkan tiada aplikasi seperti yang dikatakan tadi, semua kawalan terhad pada sentuhan pada tangkai. Ia juga tidak begitu sensitif menjadikan kawalan sedikit sukar dan menjengkelkan. Jika pengguna mempunyai tahap sabar yang tinggi, ini mungkin tidak akan menjadi masalah.
Bateri
Sudah semestinya untuk TWS ini dengan harga yang cukup rendah, ketahanan bateri tidak ada harapan yang tinggi untuk bertahan lama. Lagi-lagi apabila menggunakan mod permua untuk masa sela rendah. Black Shark mendakwa boleh bertahan sehingga 3.5 jam untuk penggunaan secara berterusan dan 35 jam penggunaan bersama pod pengecas.
Ketahanan bateri ini adalah lemah, tetapi boleh diterima. Dakwaan Black Shark dengan pengalaman penggunaan kami adalah lebih kurang sama sahaja. Dengan mod permua tadi, ketahanan bateri akan menjadi lebih rendah. Tetapi disebabkan majoriti peranti dan aksesori sudah menggunakan Type-C dan Black Shark Lucifer T1 ini juga sama, mengecas adalah mudah dan sedikit pantas.
Kesimpulan
Black Shark Lucifer T1 ini adalah percubaan menarik oleh mereka untuk memperluaskan lagi penawaran aksesori gaming yang pelbagai. Jelas di sini yang TWS ini diberi fokus penuh untuk permua dan bukannya untuk penggunaan tonton filem atau mendengar muzik.
Rekaan yang nampak cool dan bergaya, kelihatan ranggi dan ada lampu hijau menyala agar lebih garang memang menarik perhatian. Lagi-lagi harga jualan hanya RM169 yang mampu milik agar semua golongan dapat memilikinya.
Jika muzik bukan fokus utama dan hanya ingin mencari aksesori audio untuk bermain permua, Black Shark Lucifer T1 ini boleh dijadikan sebagai aksesori pertama atau aksesori gaming sandaran. Harga tidak mahal, apa lagi yang anda mahukan dan bising?
Pro
- Rekaan unik dan kelihatan ranggi
- Mod sela masa rendah yang baik dan berfungsi
- Harga mampu milik untuk aksesori gaming.
Kontra
- Audio yang lemah ketika mendengar muzik
- Binaan kurang berkualiti dan lebih kepada nampak cool sahaja
- Tiada aplikasi untuk mengawal dan kawalan yang tidak sensitif