Huawei Watch GT Runner juga telah diumumkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan seutas jam tangan pintar yang direka khusus buat para pelari sama ada pemula atau professional. Bagi yang berminat, ia dijual pada RM1,399 dan sesi pratempah telah dibuka bermula hari ini – 12 Disember 2021. Setiap pembelian akan didatangkan dengan hadiah percuma menarik bernilai RM548.

Untuk spesifikasi khusus, Huawei Watch GT Runner dilengkapi skrin berukuran 1.43-inci AMOLED dengan sokongan skrin sesentuh. Ia juga menjalankan versi terkini HarmonyOS dengan sokongan untuk muat-turun pelbagai aplikasi pihak ketiga. Selain itu, ia juga mempunyai kebolehan GPS, Beidou, GLONASS, Galileo dan sistem satelit QZSS untuk isyarat kedudukan lebih tepat.
Dari segi fungsi, jam tangan ini hadir dengan sensor terbina untuk pemantauan lebih baik seperti sensor kadar denyutan jantung berteknologi TrueSeen 5.0, SpO2 untuk pengesanan ketepuan oksigen dalam darah, 100 mod sukan berbeza dan sebagainya. Ia juga mempunyai mikrofon dan pembesar suara terbina untuk kebolehan menjawab panggilan secara terus daripada jam tangan. Ketahanan bateri pula adalah 14 hari untuk penggunaan biasa dan berkurang kepada 7 hari dalam penggunaan berat.