Carian
Memori Tikus Berjaya Dipadam Dengan Cahaya – Neuralyzer Men In Black Kini Realiti?
November 19, 2021 Fahim Zahar

Antara filem kegemaran saya adalah francais Men In Black, kerana dalam filem ini mereka mempunyai banyak gajet-gajet menarik yang boleh melakukan perkara yang luar biasa. Antara gajet kegemaran saya adalah Neuralyzer, di mana dengan gajet ini cahaya akan menyala apabila ditekan dan memori boleh dibuang dan dimanipulasi dengan memori baru.

Terkini di Universiti Kyoto, Jepun mereka telah melakukan kajian untuk merehatkan sinaps yang baru dicipta. Iaitu sambungan neuron yang mencipta memori. Mereka melakukan eksperimen ini kepada tikus, di mana tikus ini mempunyai memori dan tahu jika memasuki satu ruangan gelap ia akan dikenakan kejutan elektrik. Tetapi dengan dengan eksperimen ini, memori tikus berjaya dipadam dan ia akan memasuki ruangan gelap tadi tanpa sebarang perasaan.

Perkara ini dibolehkan dengan protein anenom laut yang menghasilkan pemusnah atom oksigen apabila terdedah kepada cahaya. Protein ini diberikan kepada tikus-tikus ini melalui suntikan virus yang tidak merbahaya ketika ia tidur. Daripada merosakkan proses sambungan sinaps ini, virus ini akan “merehatkannya” agar memori tidak dapat dicipta.

Wayar gentian optik turut dimasukkan ke dalam otak tikus untuk didedahkan kepada cahaya. Selepas ia masuk sekali lagi ke ruangan gelap yang ada kejutan elektrik, memori yang memberitahu ruangan ini bahaya dan sakit akan terpadam dan apabila tikus ini lalu lagi ia tidak akan ada rasa takut.

Eksperimen dengan sensitiviti terhadap cahaya ini turut digelar sebagai optogenetik. Tetapi hasil eksperimen mendapati selepas 25 hari memori ini akan kekal dan tidak lagi boleh dimanipulasi. Tujuan eksperimen ini adalah bagi membuktikan yang memori jangka masa panjang boleh dihentikan atau diubah kepada titik asal sebelum memori baru dicipta.

Kelak di masa hadapan, dengan eksperimen ini mereka yang ada masalah PTSD atau trauma mental dapat dipulihkan. Cuma buat masa ini, ia masih di peringkat awal dan terhad kepada tikus sahaja.

Komen