Inovasi peranti skrin boleh-lipat semakin menjadi perhatian dan beberapa pengeluar juga telah sedia hadir dengan portfolio peranti bersama rekaan sedemikian. Antaranya seperti Huawei, Samsung, Xiaomi dan sebagainya. Kini, timbul pula desas-desus yang memberi bayangan seolah-olah Realme juga bakal hadir dengan peranti boleh-lipat tersendiri.
Mungkin dikenali sebagai Realme GT 2 Fold, rekaannya telah muncul dalam beberapa lakaran imej tular. Melaluinya, ia menunjukkan rekaan peranti yang mengambil inspirasi daripada Samsung Galaxy Z Fold3 – yang mana bermaksud ia boleh dibuka seperti buku bagi memberikan paparan skrin yang luas.

Peranti berkenaan juga dijangka hadir dengan skrin utama sebesar 8-inci dan skrin sekunder pula bersaiz 6.5-inci. Kedua-dua skrin juga dijangka menggunakan panel sejenis AMOLED bersama sokongan kamera swafoto tunggal yang diletakkan di dalam lubang kecil pada bucu atas.
Butiran lain yang boleh dilihat adalah dua kamera di belakang dengan sensor 50MP + 50MP dan bulatan tambahan yang besar kemungkinan adalah sokongan untuk LED Flash. Di samping itu, terdapat juga sokongan pengimbas cap jari di sisi dan port sambungan USB-C serta pembesar suara pada bahagian bawah.

Dakwaan awal menyasarkan peranti ini akan dijual pada harga sekitar $1,200 (~RM5,018) yang dianggap mampu bersaing dengan beberapa model sedia ada. Namun begitu, harus ditegaskan maklumat dikongsi masih lagi di peringkat ura-ura. Belum dapat dipastikan sama ada ia bakal dilancarkan secara rasmi kelak atau sebaliknya. Jadi, sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut daripada pihak Realme sendiri berkaitan perkara ini.
Sumber : IceUniverse