Carian
Imej Pengolokan Pixel 6a Tertiris – Mirip Pixel 6
November 22, 2021 Fahim Zahar

Google Pixel siri A adalah peranti kelas pertengahan popular daripada Google. Ia menawarkan pengalaman penggunaan hampir setaraf dengan peranti mercu Pixel, lebih-lebih lagi daripada segi prestasi Android dan juga kemampuan kamera.

Terkini, Google dilihat sudah semakin hampir untuk melancarkan Pixel 6a pula. Imej pengolokan peranti ini telah pun tertiris dan ia dilihat mirip dengan Pixel 6. Google menggunakan rekaan serba baharu mereka yang unik dengan bar kamera ini. Secara tidak langsung, mereka tidak “mengasingkan” pengguna peranti mampu milik dengan yang lebih premium.

Ia dikhabarkan akan hadir dengan skrin OLED rata 6.2-inci, kamera berlubang pada skrin, pengimbas cap jari bawah skrin, dan juga konfigurasi dwi-kamera. Ia dilihat turut mungkin menggunakan rekaan dwi-tona yang sama dan mungkin juga akan menggunakan kemasan kaca di belakang.

Pixel 6a turut dikatakan akan menggunakan kamera sama pada Pixel 6, iaitu 50MP daripada sensor Samsung ISOCELL GN1. Tetapi cip pemprosesan mungkin bukan Google Tensor tetapi menggunakan Snapdragon 778 dengan memori mungkin 6 atau 8 GB RAM, dan sudah semestinya menjalankan Android 12 dengan sokongan kemaskini 3 tahun Android dan 5 tahun kemaskini sekuriti.

Ia mungkin akan dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

Komen