Pada bulan September yang lalu, sebagai sebahagian daripada ulang-tahun ke-50 Walt Disney World di Florida, Disney telah memperkenalkan pembantu digital Hey Disney yang dibangunkan menggunakan teknologi Amazon Alexa dan juga MagicBand+ iaitu sebuah gelang pintar yang boleh digunakan untuk menggantikan tiket masuk ke taman tema tersebut, disamping membolehkan pengguna untuk berinteraksi dengan pelbagai lokasi, objek dan persembahan di Disney World.

Fungsi-fungsi ini sebelum ini dilaporkan hanya akan diperkenalkan di Disney World Florida dan Disney Resort Hotel pada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada ulang-tahun ke-50 taman tema tersebut, tetapi terkini, syarikat hiburan tersebut mengumumkan bahawa kedua-dua teknologi ini akan diperkenalkan pada taman tema Disneyland mereka juga, walaupun buat masa ini ia nampaknya terhad kepada taman tema dan hotel Disney di Amerika Syarikat terlebih dahulu.
Penggunaan pembantu pintar “Hey Disney” dilihat akan memudahkan pengguna untuk mendapatkan rekomendasi aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan di taman tema, ataupun untuk menempah sesuatu, manakala salah satu fungsi tambahan MagicBand+ ialah pengguna boleh menambah kredit kepada gelang tersebut dan menggunakannya untuk membeli pelbagai benda di taman tema dan hotel-hotel mereka.

Sama seperti untuk Disney World dan Disney Resort Hotel, Hey Disney dan MagicBand+ akan diperkenalkan pada taman-taman tema dan hotel Disneyland pada awal tahun hadapan, mungkin pada masa yang sama ataupun selepas ia diperkenalkan pada Disney World.
Sumber: Engadget