Baik beli poco…Itulah antara ungkapan yang meniti di bibir para pengguna apabila poco kembali melancarkan model baharu, tempoh hari. Dikenali sebagai Poco M4 Pro 5G, ia merupakan kembar kepada Redmi Note 11 5G. Mengapa? Kedua-dua peranti berkongsi pelbagai perkara yang sama. Baik dari segi penampilan, kualiti binaan dan spesifikasi dalaman. Cuma yang membezakannya hanyalah kemasan modul kamera pada Poco M4 Pro 5G yang dihiasi bar hitam bersama penjenamaan Poco yang besar.
Jelas kelihatan, bar berkenaan menghiasi sepertiga daripada badan peranti. Ia bagaimanapun tidak timbul dan rata sahaja. Penawaran spesifikasi pada Poco M4 Pro 5G kelihatan agak berbeza berbanding kebanyakan peranti dalam kelas yang sama. Ia mempunyai skrin 90Hz, bateri 5,000mAh yang besar, kamera 50MP, rangkaian 5G terbina, pembesar suara stereo dan lain-lain. Gabungan yang agak menarik bukan? Tetapi, bagaimanakah pengalaman penggunaan Poco M4 Pro 5G dalam dunia sebenar? Berikut adalah ulasan kami untuk peranti baharu daripada Poco ini.
Spesifikasi Ringkas Peranti
Telefon Pintar | POCO M4 PRO 5G |
Skrin | 6.6-inci IPS LCD, Dot Display, 90Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi) |
Pemproses | MediaTek Dimensity 810 |
Cip Grafik | Mali-G77 MC9 |
RAM | 4GB/6GB (LPDDR4X) |
Muatan Dalaman | 64GB/128GB (UFS 2.2) |
Kamera Utama | Sudut-Lebar – 50MP (f/1.8) Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) |
Kamera Swafoto | 16MP (f/2.45) |
Bateri | 5000mAh 33W Pro Fast Charging |
SIM/Telefoni | SIM Nano + SIM Nano + MicroSD |
NFC | Ada |
Bicu Audio | Ada |
Kalis Air | IP53 |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari sisi Imbasan Wajah |
Harga Jualan | RM849 (4GB/64GB) RM999 (6GB/128GB) |
Rekaan & Kemasan:
Poco M4 Pro 5G tampil dengan rekaan mirip seperti model Poco M3. Terutamanya, pada bahagian bar hitam bersama penjenamaan Poco di panel belakang. Bahagian belakang diperbuat daripada bahan berasaskan plastik dengan kombinasi kemasan matte. Sama ada ia cantik atau tidak, bergantung pada cita rasa masing-masing. Sejujurnya, pada hemat kami ia boleh dikategorikan sebagai ‘biasa-biasa’ sahaja. Agak cliche apabila kami katakan elemen sebegini menyerupai kebanyakan peranti sedia ada. Hanya kemasan bar hitam yang menghiasi sepertiga panel belakang sahaja yang membuatkannya berbeza daripada yang lain. Unit ulasan ini berwarna Power Black. Tetapi, anda masih boleh mendapatkannya dalam dua pilihan warna lain seperti Poco Yellow dan Cool Blue.
Seterusnya, melihat pada logo Poco yang besar pula menjadikan peranti mudah untuk dikenal pasti daripada jauh. Ia sememangnya dapat dilihat dengan jelas. Tapi perlu untuk anda tahu bahawa peranti ini mempunyai masalah panel belakang yang mudah memerangkap kesan cap jari. Bukan itu sahaja, ia juga agak mudah terdedah kepada risiko calar-balar halus yang mungkin tidak disengajakan. Sungguhpun begitu, Poco M4 Pro 5G masih berada di tahap sebuah peranti yang baik.
Masa yang kami habiskan bersama peranti ini juga terasa cukup memadai. Di mana, pengalaman memegang peranti terasa kukuh, ringan dan selesa di dalam tangan. Cumanya, benjolan pada modul kamera kelihatan agak ketara. Perkara ini boleh menimbulkan perasaan kurang senang untuk segelintir pengguna. Di samping itu, anda juga jangan tertipu dengan binaan modul kamera ini. Jika dilihat dari jauh, ia seakan-akan dilengkapi sehingga lima kamera. Tetapi, sebenarnya tidak, ia hanya disertakan dengan sokongan dwi-kamera utama.
Pada bahagian hadapan, terdapatnya panel IPS LCD berukuran 6.6-inci yang beresolusi FHD+ (1080 x 2400 piksel). Ini adalah saiz yang sedikit lebih besar berbanding model terdahulu. Ia juga menyokong kadar segar semula tinggi 90Hz secara adaptif. Di mana, skrin akan memaparkan pergerakan yang lancar. Tetapi, pada masa sama ia turut mengurangkan penggunaan bateri kerana kadar segar semula diubah secara dinamik. Seterusnya, penggunaan skrin berlubang pada bahagian tengah turut menjadi pilihan Poco. Ia menempatkan kamera swafoto tunggal sebesar 16-Megapixel. Harus kami diakui bezel skrin adalah sedikit tebal pada bahagian dagu. Namun, ia tidak seharusnya dijadikan masalah yang besar kerana bezel pada sisi atas dan tepi kelihatan agak nipis.
Sisi kanan menempatkan butang kuasa dan laras audio. Butang kuasanya mempunyai permukaan rata, selain turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Kemudian, sisi bertentangan pula terdapatnya ruang slot SIM yang menyokong kebolehan dwi-sim dengan ruang memori tambahan menerusi kad mikroSD. Anda juga boleh temui sensor IR dan pembesar suara pada bahagian atas. Akhir sekali, terdapat satu lagi pembesar suara di bahagian bawah yang diletakkan bersama port sambungan USB-C dan bicu audio 3.5mm yang disertakan.
Pengalaman Penggunaan:
Kami akan mulakan pengalaman penggunaan dengan prestasi skrin. Kami boleh kata kualiti skrin adalah terang dengan penghasilan semula warna yang baik. Di mana, ia mampu memberikan paparan cukup tajam dan tidak mengecewakan untuk kegunaan menstrim kandungan video. Tiada masalah melampau yang ditemui sepanjang ulasan dibuat. Penggunaan di dalam bangunan adalah memuaskan. Tetapi, pengalaman penggunaan di luar sedikit terganggu – terutamanya di bawah cahaya matahari terik.
Merujuk pada tetapan yang disediakan, kami mendapati skrin sentiasa memaparkan kadar segar semula 90Hz sewaktu digunakan untuk aktiviti harian – termasuklah menatal media sosial, membalas WhatsApp, membaca artikel panjang di Amanz dan sebagainya. Namun begitu, ia menjadi terhad kepada 50Hz – 60Hz pula apabila digunakan sewaktu bermain permua dan menstrim kandungan video. Ini termasuklah beberapa aplikasi video seperti YouTube dan Netflix. Seperkara lagi untuk pelanggan Netflix, Poco M4 Pro 5G dilengkapi sistem DRM Widevine L1 yang membenarkan anda menstrim kandungan dengan resolusi FHD tanpa masalah.
Seterusnya, peranti juga mempunyai prestasi pengimbas cap yang yang responsif. Bagaimanapun, adakalanya ia agak menjengkelkan apabila kami kerap kali tersentuh secara tidak sengaja. Kemudian, peranti akan sentiasa bergetar sehingga menyebabkan ketidakselesaan. Penggunaan fungsi imbasan wajah adalah disarankan kerana prestasinya adalah lebih baik. Ia pantas dan turut boleh digunakan dalam pencahayaan yang malap. Kita teruskan lagi dengan pembesar suara pula. Di mana, ia mempunyai kualitinya sekadar baik-baik sahaja. Audio kedengaran cukup lantang dan jelas. Tetapi, ia tidak seimbang. Kami mendapati audio yang dihasilkan oleh pembesar suara di bahagian bawah lebih kuat berbanding di atas.
Poco M4 Pro 5G menggunakan sistem operasi Android 11 berasaskan antaramuka MIUI 12.5.2. Melihat pada penawarannya, antara muka tidak jauh berbeza dengan mana-mana peranti MIUI sedia ada. Rekaan ikon dan susunan elemen masih tidak berubah. Pada masa sama, ia juga membenarkan pengguna untuk mengubah tetapan mengikut keperluan. Misalnya, anda mempunyai dua pilihan untuk gaya paparan untuk pusat kawalan – sama ada versi lama atau baru. Kemudian, terdapat juga tetapan audio tambahan untuk kebolehan pendengaran muzik menerusi fon telinga. Kemudian, kebanyakan aplikasi Google juga telah sedia terbina secara lalai – seperti Gmail, Google One, Google Duo, Gdrive dan sebagainya. Melengkapinya juga adalah ciri tersesuai untuk pengalaman permua lebih baik menerusi fungsi Game Turbo. Anda juga akan perasan masih wujudnya sejumlah aplikasi gendut tetapi ia boleh dibuang sekiranya mahu.
Poco M4 Pro 5G menggunakan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 810 (6nm) dengan padanan memori sehingga 6GB RAM dan storan dalaman mencapai 128GB. Sebagai tambahan, terdapat juga sokongan penambahan storan menerusi kad microSD dan RAM maya mencapai 2GB. Pada penanda aras Antutu, Poco M4 Pro 5G mencatatkan sebanyak 353,018 mata. Sementara itu, penyenaraian Geekbench pula menunjukkan kutipan mata sebanyak 585 (satu-teras) / 1706 (pelbagai-teras).
Prestasi peranti adalah bersesuaian dengan harga jualan. Dalam erti kata mudah, anda dapat apa yang dibayar. Secara amnya, peranti cukup memberi bermanfaat untuk produktiviti harian. Penggunaan aktiviti asas seperti menatal media sosial, membaca artikel panjang, menstrim video dan sewaktu dengannya boleh dilakukan dengan baik-baik sahaja. Ia sudah tentu tidak sempurna, sebabnya ada sedikit sela masa yang dapat dilihat.
Kemudian, anda juga akan perasan aplikasi mengambil sedikit masa untuk dimuat-turun. Tetapi, ia tidak begitu ketara untuk pengguna biasa. Kemudian, pada harga jualan sebegini ia masih memadai. Peranti ini juga tidak memfokuskan kepada penggunaan permua yang menyeluruh. Namun, ia masih mampu menyajikan pengalaman bermain yang boleh diterima untuk kebanyakan aplikasi permua. Lebih menarik, peranti juga langsung tidak mengakibatkan isu haba yang melampau. Ianya statik dan boleh diterima.
Sedikit perkongsian untuk tetapan permua. Pemainan Mobile Legend Bang Bang boleh dimainkan mencapai High dengan sokongan HD dan HFR yang diaktifkan. Seterusnya, PUBG boleh dimainkan dengan tetapan tertinggi grafik tertinggi HD dengan kadar bingkai High. Terdapat juga satu lagi tetapan di mana boleh mencapai kadar bingkai Ultra dengan grafik terhad pada balanced. Kemudian, Call of Duty Mobile pula dimainkan dengan tetapan grafik tertinggi medium dengan kadar bingkai High.
Seperkara lagi, terdapat satu hal pelik yang kami perasan berkaitan peranti. Di mana, fungsi untuk sambungan hotspot tidak boleh digunakan dengan baik. Ia akan dinyahaktif secara sendiri. Kami juga sudah beberapa kali menghidupkannya semula tetapi ia tetap akan dinyahaktif secara sendiri selepas beberapa saat. Hal ini secara tidak langsung telah menimbulkan rasa kurang senang buat kami. Ia berlaku dengan kerap sehingga menyukarkan kami untuk membuat kerja dengan tenang sewaktu di rumah. Tambahan pula, kami hanya bergantung harap pada penggunaan hotspot sebagai sumber Internet.
Kamera:
Kamera utama Poco M4 Pro 5G dilengkapi dua sensor yang terdiri dengan 50-Megapixel (utama) (f/1.8) dan 8-Megapixel (ultra-lebar) (f/2.2). Bilangan lensa adalah kurang berbanding pendahulunya, tetapi Poco menggantikannya dengan sensor lebih besar. Pada masa sama, Poco juga mengambil langkah baik dengan tidak lagi menyertakan sebarang sensor 2MP yang dianggap sebagai gimik. Dalam bahasa kasar, kewujudan sensor sebegini hanya sebagai menambah ‘nilai kosmetik’ peranti sahaja. Seterusnya, kamera hadapan pula adalah sebesar 16-Megapixel.
Antara muka kamera adalah mesra pengguna dan mudah difahami. Kamera juga mampu merakam video tetapan paling tinggi 1080P/30fps untuk kedua-dua belah kamera. Peranti juga mempunyai sokongan zum digital mencapai 10X. Tetapi, tiada perkara yang menonjol kerana fungsi tambahan adalah agak terhad dan tiada sokongan untuk OIS.
Menyentuh soal prestasi, ia baik dan sesuai dengan nilai harga yang diberikan. Rata-rata gambar yang diambil dalam pencahayaan terang lebih ke arah semula jadi dengan penghasilan semula warna yang boleh diterima. Berkongsi di media sosial dengan sedikit suntingan yang sesuai bakal menjadikan gambar lebih menarik. Seterusnya, butiran juga nampak terjaga untuk hasil gambar ultra-lebar. Kewujudan hingar masih ada tetapi agak minima. Kebolehan zum yang baik hanya sehingga 2X dan selebihnya akan memberi hasil gambar yang pecah serta kabur. Kami juga menyedari terdapat perbezaan warna ketara apabila zum dilakukan. Pada masa sama, keperincian juga mula hilang.
Tangkapan gambar dalam pencahayaan rendah pula tidak konsisten. Adakalanya ia menawarkan hasil dengan butiran yang cukup baik. Tetapi, adakalanya ia melalui pasca-proses yang agak agresif – terutamanya apabila mod malam terbina diaktifkan. Akibatnya, sesetengah situasi akan memperlihatkan hasil yang lembut. Misalnya seperti gambar bangunan Public Bank yang kami sertakan – keadaan langit malam kelihatan lembut dengan butiran yang tidak dijaga. Bahkan, penghasilan semula warna juga nampak tidak semula jadi.
Bateri:
Bateri Poco M4 Pro 5G adalah sebesar 5,000mAh. Ia juga menyokong pengecasan pantas 33W. Pengalaman kami mendapati peranti mampu bertahan sekitar 7 jam dan 13 minit dengan skrin terpasang untuk penggunaan berat dan skrin 90Hz. Kitaran bateri menjadi lebih panjang mencapai lebih 12 jam lamanya untuk penggunaan sederhana bersama skrin 90Hz. Ini termasuklah penggunaan untuk menstim video, sumber Internet menerusi hotspot, menangkap gambar, bermain permua untuk beberapa sesi, melayari web dan sebagainya. Jangka hayat bateri ini mampu bertahan lebih daripada sehari untuk pengunaan biasa dengan skrin 60Hz. Untuk pengecasan semula, ia mengambil masa sekitar 1 jam dan 40 minit.
Pesaing Peranti:
POCO M4 PRO 5G | Xiaomi 11 Lite 5G NE | Samsung Galaxy A22 5G |
6.6-inci IPS LCD, Dot Display, 90Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi) | 6.55 -inci AMOLED, FHD+ (1080 x 2400 piksel), (~402 ppi), Dolby Vision | 6.6-inci, TFT LCD, 90Hz, FHD+, 1080 x 2408 (FHD+) (~399 ppi) |
MediaTek Dimensity 810 (6nm) 2 x 2.4 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 | Snapdragon 778G 5G (6 nm) 4 x 2.4 GHz Kryo 670 4 x 1.8 GHz Kryo 670 | MediaTek Dimensity 700 (7nm) 2 x 2.2 GHz Cortex-A76 6 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
Mali-G77 MC9 | Adreno 642L | Mali-G57 MC2 |
4GB/6GB (LPDDR4X) 64GB/128GB (UFS 2.2) | 6/8 GB RAM 128/256 GB ROM | 8GB RAM 128GB ROM |
Utama – 50MP (f/1.8) Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) | Sudut lebar– 64MP (f/1.9) Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2) Makro -5MP (f/2.4) | Utama – 48MP (f/1.8) Sudut Ultra-Lebar – 5MP (f/2.2) Kedalaman -2MP (f/2.4) |
16MP (f/2.45) | 20MP (f/2.2) | 8MP (f/2.0) |
IP53 | Tidak kalis air | Tiada |
Bicu Audio 3.5mm | Tiada bicu audio | Bicu Audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Mono |
5000mAh Pengecasan 15W | 4,250mAh Pengecasan 33W | 5,000 mAh Pengecasan 15W |
RM849 (4GB/64GB) RM999(6GB/128GB) | Harga bermula RM1199 | RM999 |
Kesimpulan
Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Poco M4 Pro 5G adalah peranti yang dipenuhi pelbagai ciri cukup menarik. Ia mempunyai skrin dengan kadar segar semula tinggi, sistem kamera baik dalam kelasnya, jangka hayat bateri cukup panjang, pengimbas cap jari memuaskan dan sebagainya. Ia juga merupakan sebuah peranti 5G yang sangat mampu milik setakat artikel ini ditulis dengan harga jualan bermula RM849. Tidak habis disitu, ia juga memberi manfaat buat pengguna yang mahukan sebuah peranti untuk penggunaan masa panjang kerana sedia terbina dengan sokongan 5G.
Sungguhpun begitu, tidak semua perkara akan sempurna di dunia ini. Kekurangan ketara yang boleh dilihat adalah peranti ini mempunyai skrin dengan prestasi yang sederhana untuk penggunaan di luar. Pembesar suara stereo adalah bonus tetapi kualiti audio kedengaran tidak seimbang. Panel belakang pula terlalu mudah memerangkap cap jari dan calar halus – di mana ia memerlukan penjagaan rapi bagi memelihara nilai kosmetiknya.
Bagi yang berminat, Poco M4 Pro 5G dijual pada harga RM849 untuk versi 4GB + 64GB. Sementara itu, Poco M4 Pro 5G dengan memori 6GB + 128GB pula berharga RM999. Ia telah mula ditawarkan di pasaran dan anda boleh mendapatkannya menerusi beberapa platform berbeza seperti Lazada, Shopee dan pengedar sah rasmi Poco di seluruh Malaysia.
Pro
- Binaan kukuh & selesa di tangan.
- Sokongan 5G terbina.
- Prestasi kamera sesuai dengan harga jualan.
- Pelindungan kalis air IP53.
- Perisian yang menawarkan pelbagai kawalan peribadi.
- Bateri tahan lama.
Kontra
- Prestasi sekadar sederhana.
- Panel belakang yang mudah kotor dan calar.
- Kualiti audio tidak seimbang.