Setelah meninggalkan pasaran tempatan untuk beberapa tahun, Motorola kini dilihat kembali ke pasaran tempatan dibawah Lenovo Malaysia dengan menawarkan dua buah peranti baru, iaitu Motorola e40 dan juga Motorola Edge 20 Pro untuk pasaran tempatan.
Bermula dengan Motorola e40, ia hadir dengan paparan skrin LCD bersaiz 6.5 inci dengan resolusi HD+, menggunakan CPU Unisoc T700, memori 4GB dan juga storan dalaman 64GB yang boleh dilanjutkan menggunakan kad microSD.

Dari segi kamera, Motorola e40 ini hadir dengan sistem kamera tiga lensa 48MP dengan teknologi quad-pixel yang menurut mereka menjanjikan pengalaman mengambil gambar dengan kecerahan rendah yang lebih baik. Ia juga hadir dengan bateri 5000mAH yang menjanjikan jangkahayat penggunaan yang lama.
Beralih kepada Motorola Edge 20 Pro, ia hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 6.5 inci dengan kadar segar semula 144Hz. Ia dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 870 dan hadir dengan penawaran memori LPDDR4 12GB dan juga storan dalaman sebesar 256GB menggunakan cip storan UFS 3.1.

Tetapan kamera di belakang terdiri dengan 108-Megapixel, 8-Megapixel dan 16-Megapixel sudut Ultra-lebar. Rakaman video pula menyokong sehingga 8K dan kamera hadapan hadir dengan sensor 32-Megapixel.
Menurut Lenovo Malaysia, Motorola e40 sudahpun hadir di pasaran tempatan pada harga RM599, manakala Motorola Edge 20 Pro akan ditawarkan di pasaran tempatan tidak lama lagi pada tanda harga RM2499.