Bulan lepas, WhatsApp telah menawarkan ciri sandaran penyulitan hujung-ke-hujung untuk semua pengguna Android dan iOS. Sokongan penyulitan ini adalah untuk sandaran mesej yang dibuat ke Google Drive dan iCloud, yang mana sebelum ini ia hanya terhad pada mesej-mesej dalam peranti sahaja.
Untuk makluman, WhatsApp sedia menawarkan ciri penyulitan penuh, tetapi untuk sandaran ke Google Drive dan iCloud, ia tidak menyertakan ciri penyulitan penuh sehinggalah ciri ini diperkenalkan bulan lepas. Dengan ciri ini, ia sekaligus mengelak fail sandaran diceroboh atau dicuri akses oleh pihak tidak berkaitan, sekaligus memberikan lebih sekuriti kepada fail perbualan pengguna.
Langkah 1: Gunakan WhatsApp versi terkini.
Majoriti pengguna Android da iOS pasti sudah ada WhatsApp. Anda boleh pergi ke gudang aplikasi Google Play Store atau Apple App Store untuk memuat turun/kemaskini versi yang terkini. Jika anda jenis suka mencuba sesuatu yang baru, muat turun APK versi beta untuk Android di laman seperti APKMirror.

Langkah 2: Pergi ke tetapan
Buka tetapan dengan tekan tiga titik menegak di bucu atas aplikasi, tekan Sembang, dan pergi ke Sandaran Sembang. Pastikan anda sudah log masuk ke akaun Google untuk pengguna Android dan ada akses Internet. Bagi pengguna iOS, tekan ikon tetapan di bar bawah, tekan Sembang, dan terus ke Sandaran Sembang akaun iCloud anda akan dikesan secara automatik.

Pastikan tetapan anda mengikut apa yang patut. Contohnya sertakan video, sandaran melaluji WiFi, tempoh sandaran dan sebagainya.
Langkah 3: Aktifkan Sandaran disulitkan hujung-kehujung
Selesai di atas, tekan Sandaran dislutikan hujung-ke-hujung atau End-to-end encrypted backup. Di dalam ini, WhatsApp akan memberitahu anda yang tiada sesiapa boleh mengakses data-data anda serta rumusan saiz mesej anda bersama dengan saiz media.
Contoh dalam rajah adalah 2.7GB mesej dan 2.5GB media. Terus tekan Hidupkan.

Langkah 4: Cipta kata laluan
WhatsApp kemudian akan arahkan anda untuk cipta kata laluan atau jika ingin sekuriti yang lebih ketat, cipta kunci penyulitan 64-digit atau 64-digit encryption key.
Dalam contoh ini, kunci penyulitan 64-digit telah dipilih. Apa pun yang anda pilih, pastikan anda salin atau buat tangkapan layar dan simpan di tempat selamat seperti storan awan atau aplikasi nota. Untuk sekuriti tambahan lagi, nota atau tangkapan layar yang disimpan tadi, letak kata laluan.

Selesai, tekan Teruskan. WhatsApp akan mengingatkan anda sekali lagi untuk simpan kunci atau ingat kata laluan ini.
Langkah 5: Sandaran mesej bermula
Anda akan terus lihat sandaran mesej anda akan bermula. Di mana langkah pertama adalah sandaran di dalam peranti, sebelum sandaran ke storan awan dilakukan. Di iOS, anda akan lihat proses ini terus bermula kerana anda tidak boleh akses folder WhatsApp untuk iOS seperti Android.

Meta sedia menawarkan ciri penyulitan penuh untuk permesejan pada WhatsApp bagi tempoh yang agak lama, dan hanya akan menawarkan ia untuk Instagram serta Facebook Messenger sekitar 2023 kelak.
Apa-apa pun, apa kata anda mengenai ciri ini? Anda akan buat, atau jenis tidak peduli akan data-data perbualan anda di luar sesuatu aplikasi?