Carian
Lufthansa Explorer Ialah Airbus A330 Yang Diubahsuai Menjadi Kapal Layar Mewah Di Angkasa
November 23, 2021 Effi Saharudin

Kapal layar mewah masih lagi menjadi simbol status golongan hartawan dengan kapal Azzam milik Sheikh Khalifa bin Zayed bin Sultan Al Nahyan memegang rekod sebagai yang terbesar di dunia. Tetapi kapal layar adalah perlahan yang menyukarkan perjalanan jarak jauh. Di Lufthansa, mereka mempunyai visi dimana kapal terbang mewah Lufthansa Explorer digunakan oleh pelanggan mewah untuk mengembara ke seluruh pelosok dunia.

Lufthansa Explorer ialah sebuah pesawat Airbus A330 yang diubahsuai untuk menjadi sebuah kapal layar mewah yang membawa 12 penumpang dan 13 anak kapal. Ini adalah jauh lebih rendah berbanding kapasiti asal pesawat yang mampu membawa lebih 200 penumpang. Susunan kabin adalah mirip kapal layar dengan bilik tidur peribadi, ruang makan, bilik mesyuarat, dapur dan juga sebuah kelab malam.

Bahagian bumbung pesawat dilengkapi panel yang memberikan isu bahawa penumpang boleh melihat langit di luar. Pada bahagian hadapan terdapat beranda yang boleh dibuka untuk memberikan pemandangan apabila pesawat tiba ke destinasi. Konfigurasi pesawat ini boleh diubah mengikut keperluan pelanggan dengan terdapat perancangan untuk menggunakan pesawat Airbus A350 dan Boeing 787 yang jauh lebih besar.

Menurut Lufthansa mereka turut akan mengadakan kerjasama dengan Brabus untuk menawarkan kenderaan untuk pengembaraan di ruang kargo bagi penumpang untuk meneruskan pengembaraan. Lufthansa Explorer masih sekadar konsep tetapi Lufthansa percaya terdapat permintaan untuk segmen penerbangan peribadi mewah tanpa pelanggan memiliki pesawat peribadi.

Sumber Lufthansa Technik

Komen