Cari @ Amanz

Reddit Akan Menamatkan Aplikasi Dubsmash Pada Februari 2022

Oleh Nazrin

Link Copied!

Pada penghujung tahun lepas, Reddit telah mengambil-alih platform video pendek Dubsmash dengan tujuan untuk membangunkan dan mengintegrasi fungsi-fungsi platform tersebut terus kepada aplikasi utama Reddit. Apabila syarikat tersebut dibeli, Reddit mengatakan bahawa untuk sejumlah masa, platform tersebut akan dibiarkan aktif untuk satu masa tertentu.

Terkini, Reddit telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa menjelang Februari 22 tahun hadapan, platform Dubsmash akan ditutup dan fungsi penciptaan kameranya akan diintegrasi kedalam aplikasi utama Reddit secara penuh.

Reddit mengatakan bahawa ini sejajar dengan matlamat mereka mengambil-alih Dubsmash, dan proses integrasi tersebut kini berjalan secara lancar. Ini juga ialah sebahagian daripada pelan mereka untuk menandingi syarikat-syarikat seperti TikTok dan Snapchat yang juga merupakan dua platform video pendek yang berjaya.

Untuk Reddit, mereka mengatakan bahawa kebelakangan ini, kandungan video dilihat diantara kandungan yang paling pesat penggunaannya, dan khususnya setelah mereka memperkenalkan satu bahagian khas untuk kandungan video pendek, yang akan diperkenalkan untuk aplikasi Android dan juga laman web Reddit untuk desktop kelak.

Dengan pengumuman tersebut juga, Reddit telah memperkenalkan kemaskini baru untuk aplikasi mereka sedia ada, iaitu fungsi kamera yang hadir dengan kebolehan untuk mengubah kelajuan merekod dan juga pemasa untuk membolehkan pengguna bersiap-sedia sebelum rakaman dilakukan. Pengguna juga kini boleh memuat-naik video dalam pelbagai orientasi, dan skrin mengedit baru diperkenalkan dengan pelbagai fungsi-fungsi baru yang menarik.

Sumber: Reddit


Komen ()