Corsair dan ASUS boleh dikatakan dua diantara jenama popular dalam industri perkakasan dan komponen komputer, khususnya jika anda jenis yang gemar membangunkan komputer sendiri. Terkini, dua jenama ini dilihat telah membangunkan set memori DDR4 Corsair Vengeance istimewa yang hadir dengan input rekaan oleh ASUS.

Dinamakan Corsair Vengeance RGB Pro Fuxue, ia adalah sebahagian daripada siri komponen ASUS Fuxue yang bertemakan warna putih dan seorang watak animasi yang dinamakan Xue Wu Zhan Ji yang hanya dijual di pasaran China sahaja.
Dengan tema tersebut, memori Vengeance RGB Pro Fuxue ini hadir dengan sirip penyejuk berwarna putih dengan watak Xue Wu Zhan Ji yang hadir dengan rekaan “chibi” di bahagian tepi memori ini.

Dari segi spesifikasi, Corsair menggunakan modul memori DDR4 dengan pilihan kelajuan 3200MHz dan 3600MHz dengan pilihan kapasiti 16GB dan 32GB dalam konfigurasi dwi-saluran (dual-channel).
Seperti yang dikatakan, memori ini hanya ditawarkan untuk pasaran China sahaja, dimana ia dijual pada harga $122 dan $203 untuk konfigurasi 16GB dan 32GB dengan kelajuan 3200MHz, dan $211 untuk konfigurasi 32GB dengan kelajuan 3600MHz.
Sumber: Tom’s Hardware