OPPO Reno6 Z diperkenalkan beberapa bulan yang lalu sebagai peranti pintar yang hadir dengan kemampuan terbaik dari segi prestasi dalam aspek rekaan, penggunaan dan juga fotografi oleh OPPO.
Dikuasakan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 800U, ia hadir dengan rekaan yang membolehkan penggunaan skrin besar, bateri yang mampu tahan lama dan juga sistem kamera yang menjanjikan kualiti gambar yang baik.
Terkini, OPPO dilihat telah bekerjasama dengan jenama kosmetik Jepun, Shiseido untuk membangunkan sebuah kotak istimewa yang mengandungi bukan sahaja sebuah peranti OPPO Reno6 Z, tetapi juga aksesori-aksesori tambahan.
Menariknya, Shiseido mengatakan kotak istimewa edisi terhad ini dibangunkan dengan ilham dari salah satu daripada rekaan warna peranti Reno6 Z, iaitu Reno Glow Aurora. Kotak ini akan mengandungi peranti dan pelbagai aksesori lain, tetapi Shiseido mengatakan bahawa kotak tersebut boleh digunakan untuk menyimpan alat solek selepas peranti dikeluarkan.
OPPO mengatakan bahawa kandungan selain daripada peranti tersebut masih lagi rahsia setakat ini, dan akan diumumkan pada 2 Disember 2021 kelak.