Dyson ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk pembersih hampagas mereka yang bukan sahaja hadir dengan tanda harga mahal, tetapi juga kerana konsep kejuruteraannya yang memastikan semua produk keluarannya kelihatan seperti ia dibangunkan dari masa hadapan.
Dyson juga salah sebuah syarikat teknologi yang mementingkan kelestarian komponen-komponen yang digunakan, dan hari ini mengumumkan bahawa mereka telah menamatkan kontrak bekalan komponen dengan sebuah syarikat dari Malaysia, iaitu ATA IMS Berhad.
Reuters melaporkan bahawa selepas siasatan audit keatas syarikat pembekal komponen tersebut, dan juga beberapa keterangan daripada pemberi maklumat dalam syarikat, Dyson bercadang untuk menghentikan kontrak dengan syarikat tersebut.
Dyson dilaporkan telah memberitahu ATA mengenai penemuan mereka tentang bagaimana syarikat tersebut melayan para pekerja mereka, dan selepas enam minggu, Dyson mendapati bahawa syarikat tersebut tidak memperbaiki keadaan tersebut, dan layanan mereka terhadap keberadaan pekerja masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.
Perkara ini dilihat akan memberikan tamparan yang hebat kepada ATA, kerana 80 peratus daripada pendapatan mereka bergantung kepada syarikat teknologi yang berasal dari UK itu.
Walaupun begitu, Dyson mengatakan bahawa kontrak tersebut ditamatkan dengan notis enam bulan, dimana ia akan memberi masa kepada ATA IMS untuk melepaskan para pekerja yang akan terkesan akibat pengurangan jualan komponen mereka.
Sumber: Reuters