Intel Mula Menghantar Cip Pemprosesan Alder Lake-P Ke Pembuat Komputer Riba

Diterbitkan pada Nov 25, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Intel dijangka akan memperkenalkan cip pemprosesan Alder Lake-P untuk komputer riba mereka di acara CES di Las Vegas pada awal tahun hadapan, dan kini, terdapat laporan bahawa Intel sudahpun mula menghantar cip pemprosesan tersebut ke syarikat pembangun komputer riba untuk diuji.

Gregory Bryant, Timbalan Presiden Eksekutif Intel mengesahkan melalui sebuah ciapan bahawa cip pemprosesan generasi ke-12 Alder Lake-P telahpun dihantar ke pelanggan-pelanggan Intel di seluruh dunia untuk membolehkan mereka memulakan proses pembangunan dan ujian komputer riba yang menggunakan cip pemprosesan terbaru ini.

Tidak banyak yang diketahui mengenai cip pemprosesan Alder Lake-P buat masa ini, tetapi ia telah disahkan bahawa model Intel Core i3 dan Core i5 akan hadir dengan jumlah penggunaan tenaga yang rendah, disamping penggunaan dua teras Golden Cove (Performance Core) manakala model Intel Core i7 dan i9 dijangka akan hadir dengan sebanyak enam teras tersebut. Ura-ura juga menjelaskan bahawa kesemua cip pemprosesan ini akan hadir dengan lapan teras Gracemont (Efficiency cores) untuk kegunaan perkomputeran yang tidak memerlukan prestasi tinggi.

Bercakap mengenai prestasi pula, ia dijangka bahawa komputer riba yang menggunakan cip pemprosesan Intel Alder Lake-P ini akan memperlihatkan prestasi yang cukup hebat sekali apabila dibandingkan dengan penawaran Intel sebelum ini.

Komputer-komputer riba dengan cip pemprosesan Intel Alder Lake-P dijangka akan hadir ke pasaran seawal suku kedua tahun 2022 kelak.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami