Cari @ Amanz

Rangkaian aksesori audio keluaran Oppo telah dikemaskini dengan dua lagi produk baharu menerusi pengenalan Oppo Enco Free 2i dan Oppo Enco M32. Kedua-duanya menampilkan rekaan yang berbeza. Di mana, Oppo Enco Free2i adalah fon jenis dalam telinga bertangkai dan putik silikon. Sementara itu, Oppo Enco M32 pula hadir dengan gabungan angkup leher dan fon telinga dengan sambungan magnetik.

Secara amnya, ia hanyalah versi Oppo Enco Free 2 yang telah diubah-suai sedikit dari aspek spesifikasi dalaman. Di mana, Oppo tidak menyertakan sokongan audio yang ditala oleh Dynaudio pada fon telinga ini. Lain-lain spesifikasi sama sahaja. Sepasang pemandu audio bersaiz 10mm dengan sokongan codec SBC, AAC dan kawalan sentuhan digunakan pada fon telinga ini.

Ia juga hadir dengan teknologi pembatalan bunyi aktif (ANC) yang didakwa mampu menawarkan masa main balik selama 30 jam dengan sekali caj. Sambungan kepada peranti ialah menerusi bluetooth 5.0 dan ia juga melepasi piawaian IP54 yang membolehkannya dibawa bersenam. Tidak ketinggalan, ia turut dilengkapi mod latensi rendah 94ms untuk pengalaman penggunaan lebih baik.

Seterusnya, Oppo Enco M32 pula menggunakan pemandu audio dinamik bersaiz 10mm. Sambungan kepada peranti ialah menerusi bluetooth 5.0, di samping turut menyokong fungsi khusus yang memudahkan proses penukaran antara dua peranti. Selain itu, ia turut melepasi piawaian IP55 dan ketahanan bateri adalah mencapai 28 jam lamanya.

Di China, Oppo Enco Free 2i dijual pada harga bermula RMB399 (~RM264). Sementara itu, Oppo Enco M32 pula berharga RMB199 (~RM132).

Sumber : Oppo China

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd