Cari @ Amanz

MSI jenama perkakasan, aksesori dan peranti komputer yang terkemuka dari Taiwan baru-baru ini dilihat telah mengemaskini beberapa penawaran komputer desktop mereka dengan menawarkan penggunaan komponen CPU Intel generasi ke-12 Alder Lake dan juga papan induk Intel Z690 terbaru yang menyokong memori DDR5 dan teknologi penghantaran data PCIe 5.0.

MSI dilihat memperkenalkan komputer-komputer desktop MSI MEG Aegis Ti5 12th, MEG Trident X 12th dan MAG Codex X5 12th yang mana kesemuanya ialah komputer berkuasa tinggi dengan komponen-komponen terbaru oleh MSI, Intel dan NVIDIA.

MSI MEG Aegis Ti5 12th ialah komputer mercu dalam siri MEG ini, dan dikuasakan oleh CPU Intel Core i9-12900K yang boleh dilewahjam, dan disertakan bersama-sama dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3090 yang paling berkuasa di pasaran sekarang. Ia menggunakan sistem penyejukan Silent Storm Cooling 4 untuk menyejukkan komponen-komponen dalaman, dan bagi mereka yang mahu meningkatkan prestasi komputer ini dengan cepat, fungsi Gaming Dial diperkenalkan semula untuk membolehkan pengguna melakukannya dengan pusingan dial fizikal dengan cepat.

Bagi mereka yang mahukan sebuah komputer desktop yang kecil dan padat tetapi berkuasa, MSI MEG Trident X 12th turut diperkenalkan, Sama dengan MEG Aegis Ti5 12th, komputer kerdil ini yang hadir dengan ketumpatan 10 liter dilengkapi dengan pilihan CPU Intel Alder Lake sehingga Intel Core i9-12900K dan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 3090 juga, bersama-sama dengan penyejuk Silent Storm Cooling yang akan memastikan bahawa komputer ini sentiasa berfungsi pada tahap optimum.

Jika anda mahukan sebuah komputer gaming dengan rekaan yang lebih tradisional, MSI MAG Codex X5 12th mungkin pilihan anda. Ia dilengkapi dengan pilihan CPU Intel Alder Lake dan juga kad grafik daripada NVIDIA dan menggunakan sistem penyejukan cecair yang akan memastikan komponen CPU anda berfungsi dengan optimum juga.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd