Cari @ Amanz

Walaupun ia boleh dikira sebagai sebuah negara dengan penggunaan teknologi yang pesat, Jepun merupakan salah satu negara dunia pertama yang masih lagi rancak menggunakan matawang fizikal untuk transaksi harian.

Laporan Japan Times mengatakan bahawa 80 peratus daripada transaksi runcit harian di negara tersebut sehingga tahun 2018 masih lagi menggunakan matawang fizikal, dan kerajaan negara tersebut sedang berusaha dengan keras untuk memastikan bahawa mereka beralih kepada menggunakan transaksi nirtunai.

Jepun sebelum ini dilihat sedang cuba untuk menguji penggunaan matawang digital Yen, tetapi terkini, sejumlah besar syarikat-syarikat konglomerat Jepun mahu menguji kriptowang keluaran negara tersebut yang dinamakan DCJPY.

Kriptowang DCJPY ini akan dibangunkan menggunakan sokongan matawang Yen, dan dibelakangi bukan sahaja oleh sekitar 70 syarikat-syarikat teknologi paling terkemuka di Jepun seperti East Japan Railway dan Kansai Electric Power Company, tetapi juga akan dibiayai oleh tiga institusi perbankan terbesar di Jepun, termasuklah Mitsubishi UFJ Financial Group, Mizuho Financial Group dan Sumitomo Mitsui Financial Group.

Syarikat-syarikat ini dijangka akan menguji penggunaan kriptowang DCJPY ini seawal tahun hadapan, dan bergantung kepada sambutannya, mungkin akan terus digunakan di masa akan datang.

Sumber: Reuters

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd