Ulasan Realme GT Neo2 – Terbaik Dan Masih Mampu Milik

Diterbitkan pada Nov 29, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sejak Realme memperkenalkan siri GT mereka, peranti mereka dilihat menjadi semakin baik. Siri GT ini adalah peranti dengan kemampuan prestasi bertaraf peranti mercu, tetapi dijual pada harga kelas pertengahan premium. Di makmal Amanz, peranti terbaru dalam siri GT ini adalah Realme GT Neo2.

Peranti ini hadir dengan cip pemprosesan cukup berkuasa tahun 2021, hadir dengan skrin yang pantas, menyokong sistem pengecasan pantas, boleh digunakan untuk gaya hidup serta khusus untuk gaming. Selepas berminggu menggunakan peranti ini, ini adalah apa yang kami rasakan mengenai GT Neo2.


Spesifikasi Dan Rekaan

Realme GT Neo2
Skrin6.62″ AMOLED, 120Hz, FHD+, ~397 ppi
HDR10, Tapi Netflix HD
PemprosesSnapdragon 870 (7nm)
Cip1×3.2 GHz Kryo 585
3×2.42 GHz Kryo 585
4×1.80 GHz Kryo 585
Cip GrafikAdreno 650
RAM19GB RAM
(12GB RAM + 7GB RAM Maya)
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama64 MP, f/1.8, 26mm (lebar),
8 MP, f/2.3, 16mm, 119˚ (ultra-lebar)
2 MP, f/2.4, (makro)
Nightscape Video, Ultra Steady Video, Video Bokeh
Super Nightscape, Professional, Bokeh, Ultra Macro
Kamera Swafoto16MP, f/2.5
Bateri5,000 mAh
Berwayar
65W SuperDart Charge
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM2,099

Peranti ini hadir dengan spesifikasi yang agak hebat. Skrin 6.62 inci yang besar, panel AMOLED dengan sokongan HDR10 serta kadar segar semula 120Hz yang cukup pantas. Skrinnya cukup cerah dan terang, mampu paparkan dinamik warna yang menarik perhatian. Video HDR di YouTube apabila ditonton memberikan pengalaman yang memuaskan. Cuma sayang sekali, Netflix hanya menyokong paparan HD sahaja. Sedikit mengecewakan di situ – tetapi tidak mengapa. 120Hz pada peranti ini cukup konsisten dan sentiasa lancar.

Setiap tatalan adalah pantas dan memuaskan. Peralihan animasi yang cantik dan kemas, tiada masalah lengah masa sepanjang penggunaan di pelancar dan talam notifikasi, serta memberikan rasa penggunaan yang amat mengasyikkan.

Dipadankan pula dengan cip Snapdragon 870 binaan 7nm yang efisien dari segi penggunaan kuasa dan mampu memberikan prestasi tinggi tanpa masalah pemanasan. Memori pula adalah 19GB RAM, iaitu 12GB RAM terbina dan 7GB RAM maya daripada storan dalaman 256GB UFS 3.1.

Cip ini sudah terbukti berkuasa, seperti yang ada pada peranti Vivo, Poco atau Black Shark. Bermain permua seperti Genshin Impact pada tetapan paling tinggi tiada masalah dan peranti juga akan hanya rasa suam sahaja. Jika dipegang masih selesa dan tidak ada masalah seperti Snapdragon 888. Multi-tugasan juga seperti kerap bertukar antara aplikasi, banyak tambat pada aksesori Bluetooth, semuanya adalah lancar.

Sistem kamera pula menggunakan konfigurasi tri-kamera daripada sensor utama 64 MP, f/1.8, 26mm (lebar), 8 MP, f/2.3, 16mm, 119˚ (ultra-lebar) dan juga 2 MP, f/2.4, (makro). Realme turut menawarkan fungsi Nightscape Video, Ultra Steady Video dan Video Bokeh untuk rakaman video yang menarik serta Super Nightscape, Professional, Bokeh dan Ultra Macro untuk fotografi yang lebih hebat dan menawan.

Peranti ini menggunakan rekaan yang biasa sahaja. Mirip siri Oppo Reno dan OnePlus Nord – tetapi dengan penggunaan warna hijau neon yang digelar Neo Green amat unik. Warnanya tajam mencucuk mata dan akan berkilat apabila terkenal silauan cahaya. Di belakang, bonggol kamera kelihatan kemas sususan lensa, ada tulisan Realme dan Dare To Leap untuk peminat tunjuk lagak, sisi kanan dengan butang kuasa dan sisi kiri dengan butang aras suara.

Di atas hanya ada lubang mikrofon, di bawah terletaknya slot kad SIM, lubang mikrofon, prot USB-C dan juga kekisi pembesar suara. Akhir sekali di hadapan bezel yang sekata, skrin berlubang di bucu untuk kamera swafoto 16MP dan earpiece merangkap pembesar suara kedua untuk stereo di bezel atas.

Penggunaan Dan Perisian

Peranti ini memberikan satu pengalaman penggunaan yang amat memuaskan. Ia mengingatkan saya kembali kepada penggunaan Realme X7 Pro. Ia mempunyai pengalaman penggunaan seakan peranti mercu kelas atasan, sambil sedar had sebuah peranti kelas pertengahan. Skrin peranti ini yang cantik lagi pantas adalah baik sekali. Tetapi penggunaan dengan Netlfix terhad serta warnanya mungkin tidak akan digemari oleh semua.

Prestasi yang gila lancar dan mengejutkan ini akan membuatkan pengguna tidak sangka ini adalah peranti daripada Realme dan harga jualan hanya sekitar RM2000. Bermain permua Asphalt 9 pada tetapan paling tinggi tidak memberikan sebarang masalah, Genshin Impact pula dengan tetapan paling tinggi tetapi dengan Bloom dan motion blur direndahkan/dimatikan akan memberikan rasa bermain yang gila puas.

Bermain sudah lebih satu jam pun tidak akan membuatkan peranti panas, malah boleh terus sambung melayari web, mendengar muzik dan sebagainya pada keadaan tidak lengah masa.

Realme UI pula yang semakin menarik digunakan, semakin menghampiri dengan Android asli tetapan elemen ColorOS itu masih ada. Agak aneh apabila menggunakan Realme UI dan ColorOS akan rasa seakan Android asli, tetapi menggunakan Oxygen OS akan rasa amat berbeza.

Apa pun, penggunaan Realme UI adalah memudahkan pengguna dan padat dengan kemampuan kustomasi. Mempunyai mod permua tersendiri, pengurus peranti yang menjamin keselamatan pengguna, serta banyak lagi fungsi unik yang anda sedia kenal pada peranti Realme boleh digunakan dengan baik sekali,

Tetapan mungkin akan rasa pening sedikit, tetapi iterasi Realme UI untuk membawakan penggunaan yang ringkas dan mudah itu berjaya.

Prestasi Dan Skor Penanda Aras

Dengan aksesori kipas penyejuk agar dapat memperoleh skor di tahap yang optimum, Realme GT Neo2 dengan AnTuTu boleh menerima 724,402 markah dan Geekbench 5 pula adalah 1017/3145 markah untuk satu teras dan multi-teras. Skor ini juga adalah dengan berkali-kali ujian menerima hasil yang agak konsisten sekitar 720,000 sentiasa di AnTuTu dan sekitar lebih 900/3000 Geekbench 5.

Penggunaan RAM maya maksimum turut diaktifkan. Peranti ini menerima markah yang memuaskan dan apa yang kami jangka untuk Snapdragon 870. Peranti ini ada sistem penyejukan tersendiri dengan gel berlian untuk suhu sejuk yang lebih stabil.

Telefoni Dan GPS

Sepanjang menggunakan peranti ini, saya tidak mengalami apa jua masalah Internet pada data mudah alih, mahupun WiFi. 4G dan VoLTE Maxis tiada masalah dan rangkaian adalah sentiasa stabil. Penggunaan panggilan telefon juga baik sekali dengan suara yang jelas dan terang.

GPS juga tiada masalah, ia mampu mengunci lokasi dengan pantas dan mampu memberikan arahan selok-belok yang tepat tidak kira Waze atau Google Maps.

Kamera

Kamera peranti ini mengejutkan cukup memuaskan untuk penggunaan ringkas seperti berkongsi di media sosial atau merakam video montaj untuk kegunaan sendiri. Ciri dan fungsi yang ditawarkan sudah menarik dan memadai.

Kamera swafoto 16MP bukanlah sensor yang terbaik, tetapi ia mampu mengambil gambar yang cukup berkualiti. Agak lembut hasilnya, tetapi boleh diterima. Mod bokeh kurang kemas, yang mana boleh agak untuk peranti dalam kelas ini. Mod kecantikan agak realistik dan kadangkala mengerikan.

Kamera utama peranti ini juga mempunyai kemampuan yang cukup hebat. Hasil HDR yang cukup terang dan tajam sambil dapat memelihara butiran dengan baik. Walaupun apabila mula zum butiran mula menghilang dan ada kesan hingar – itu hanyalah kelemahan pada algoritma dan pasca proses sahaja.

Mod makro dan jarak dekat juga mampu memberikan warna yang cantik, padan dengan ma melihat di dunia nyata serta memelihara butiran yang membuatkan hasil gambar kekal kelihatan indah.

Mod sudut ultra lebar hanya baik jika dilihat pada skrin telefon, kerana ia tidak mempunyai hasil yang memuaskan. Warnanya aneh sekali nampak baik, tetapi ia sekadar boleh ambl imej yang luas tanpa mementingkan butiran.

Keseluruhan pengalaman penggunaan kamera peranti ini adalah baik. AI yang terbina konsisten dan mampu mengenalpasti imej apa dan situasi bagaimana untuk ia lalui pasca-proses terbaik untuk hasil imej akhir. Cuma apabila ada cahaya yang terlampau terang seperti di bawah cahaya matahari yang gila terik – AI boleh jadi tidak konsisten.

Butiran langit juga dapat dipelihara dengan baik dengan mengekalkan warna yang asli tanpa warna yang dipertingkatkan sehingga kelihatan seakan kartun. Mod malam juga boleh diterima, cuma bukan sesutau yang layak dipuji hebat – tetapi boleh dipuji ia mampu melakukannya dan asal ada.

Video pada peranti ini bukanlah yang terbaik. Tetapi sekadar untuk rakaman ringkas dan dkongsi ke media sosial ia mampu lakukan apa yang patut.

Audio

Realme sekali lagi mampu memberikan audio stereo pada peranti mereka. Untuk peranti bernilai RM2099, kualiti pembesar suara peranti ini adalah tidak mengecewakan. Ia kuat dan lantang dengan bass yang cukup dalam. Vokal juga jelas kedengaran dengan nada tinggi yang baik-baik sahaja – asal sampai.

Ia ditala dengan Dolby Atmos yang mana dengan platform penstriman seperti Apple Music disokong dengan baik. Jika diteliti ia sedikit tidak seimbang, tetapi masih memuaskan. Bermain permua juga akan memberikan pengalaman lebih imersif.

Bateri

Untuk saya, jika ada pengecasan pantas atas 55W saya tidak akan hiraukan masalah bateri. Tetapi bagi mereka yang sensitif, peranti ini tiada masalah untuk mempunyai ketahanan bateri 7-8 jam SOT penggunaan ringan seperti media sosial, penstriman video pendek, dan lain-lain. Manakala dengan permua dan penggunaan lebih ekstrem, jangka hayat adalah sekitar 5-6 jam SOT.

65W adalah kuasa pengecasan yang cukup pantas. Sekitar 50 minit boleh cas 0%-100% tanpas masalah. Ada pula sokongan PD asas yang memudahkan jika merantau.

Pesaing

Realme GT Neo2OnePlus 9RPoco F3
6.43-inci, Super AMOLED, 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~409 ppi)6.55-inci Fluid AMOLED, 120Hz, FHD+, (2400 x 1080 pixels) (~402 ppi)6.67-inci AMOLED 120Hz, FHD+, (1080 x 2400 piksel) (~395 ppi)
Snapdragon 870 5G (7 nm)
1×3.2 GHz Kryo 585
3×2.42 GHz Kryo 585
4×1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 870 5G (7 nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Snapdragon 870 5G (7 nm)
1 x 3.2 GHz Kryo 585
3 x 2.42 GHz Kryo 585
4 x 1.80 GHz Kryo 585
Adreno 650Adreno 650Adreno 650
19GB RAM
256GB UFS 3.1
12GB RAM
256 GB UFS 3.1
6/8 GB RAM
128/256 GB UFS 3.1
64 MP, f/1.8, 26mm (lebar),
8 MP, f/2.3, 16mm, 119˚ (ultra-lebar)
2 MP, f/2.4, (makro)
Utama – 108MP (f/1.9)
Sudut Ultra-Lebar – 8MP (f/2.2)
Makro-2MP (f/2.4)
Kedalaman – 2MP (f2.4)
48 MP, f/1.79, 26mm (lebar),
8 MP, f/2.2, 16mm, 119˚ (ultra-lebar)
5 MP, f/2.4, (telemakro)
16 MP (f/2.5)32 MP (f/2.2)20 MP (f/2.45)
NFC
Bluetooth 5.1
NFC
Bluetooth 5.1
NFC
Bluetooth 5.1
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm Tiada bicu audio 3.5mm
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5000 mAh
Pengecasan pantas 65W
4500 mAh
Pengecasan pantas 66W
4520 mAh
Pengecasan pantas 33W
RM2,099Sekitar RM2,200 (OnePlus Global)RM1,199 (6/128 GB)
RM1,399 (8/256 GB)

Kesimpulan

Realme GT adalah peranti Realme yang berprestasi tinggi pada harga mampu milik. GT Master Edition membuktikannya dan kini GT Neo2 tidak terkejut mampu memberikan pengalaman penggunaan yang memuaskan. Ia cuba menawarkan peranti gaming sebenar bukannya seperti siri Narzo.

Pakej yang ditawarkan Realme pada peranti ini serba lengkap. Skrin hebat dan laju, prestasi gempak dan pantas, caj laju dan bateri boleh tahan, audio stereo yang enak sahaja pada harga RM2,099 – Realme memandang Xiaomi dengan siri T mereka dengan jelingan tajam.

Peranti ini kebarangkalian tinggi tidak akan mengecewakan semua orang. Apa yang ditawarkan akan memeranjatkan semua. Oh ya, peranti ini juga mempunyai enjin getaran yang baik dan hebat kerana tidak rasa murah dan ada nilai premium melengkapkan sebuah peranti kelas pertengahan premium berkelas mercu.


Pro

  • Skrin 120Hz yang sangat memuaskan, lancar dan cukup pantas.
  • Prestasi yang baik dan lancar.
  • Sistem audio yang enak dan boleh diterima.
  • Kemampuan kamera yang bersesuaian.

Kontra

  • Rekaan yang bosan dengan cubaan menarik perhatian.
  • Warna skrin yang tidak begitu menarik dan terlampau tajam.
  • Bateri yang patutnya boleh tahan lebih lama.
  • Video masih bukan yang terbaik.

komen


© Amanz / 2022 Kami