Adobe MAX 2021: Bersama Ahady & Shaz – Pemburu Dinding Di Akhir Minggu

Diterbitkan pada Nov 28, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Pada acara Adobe MAX tahun ini menampilkan satu kelainan dimana terdapat tiga sesi yang dikendalikan warga Malaysia. Selain dari Henry Golding yang mengambil pentas ucaptama dan juga Najihah Najlaa untuk sesi Adobe Premiere Pro, Ahady Rezan & Shaz Sharif turut berkongsi mengenai satu dunia kreatif yang makin mendapat ramai penggiat iaitu Dunia Fotografi Peranti Mudah-Alih (Mobile Photohgraphy)

Ahady dan Shaz merupakan pasangan suami isteri dengan latarberlakang industri kreatif namun bagi dunia fotografi, kedua-dua pasangan suami isteri ini telah bermula sejak tahun 2014 menggunakan iPhone 5. Menariknya, mereka memilih untuk gaya-gaya yang bukan kebiasaannya ditemui dikalangan pengguna Instagram.

Dinding Sebagai Subjek Fotografi

Tidak dinafikan setiap jurugambar ada minat dan pengkhususan yang diceburi. Bagi pasangan ini, dinding merupakan subjek kegemaran mereka. Ahady gemar untuk menyertakan anak beliau sebagai subjek didalam gambar, disebalik latarbelakang dinding yang besar. Ini sekaligus menerapkan konsep minimalism didalam penggambarannya.

Bagi Shaz yang menyatakan dirinya lebih suka berada disebalik tabir, berada didalam industri kreatif kerap mencabar dirinya untuk keluar dari kepompong sendiri. Jadi gambar kegemaran yang dirakam menunjukkan adiknya disebalik tiang, dengan corak dinding menarik dan juga subjek bunga yang memberikan kontras subjek berlainan. 

Kebanyakan karya mereka berdua di Instagram turut menerima minat dari pelbagai pihak, hinggakan syarikat telekomunikasi tempatan menjemput mereka untuk memberikan kelas fotografi. Berkongsi mengenai proses kreatif mereka, kebanyakan masa lapang di hujung minggu akan digunakan bagi mereka sekeluarga mencari dinding yang menarik sebagai subjek. Kebanyakan dinding atau latarbelakang yang dipilih adalah berwarna-warni dan juga besar, membolehkan mereka bermain-main dengan skala fotografi.

Lihat karya: Ahady/@huxterized & Shaz/@moksva di Instagram

Memulakan Karya Fotografi Disamping Menjadi Suri Rumah Sepenuh Masa

Bagi seorang suri rumah sepenuh masa, banyak objek seharian yang boleh dijadikan sebagai subjek dalam fotografi. Berkongsi mengenainya, Shaz yang juga merupakan suri rumah sepenuh masa memberikan tips iaitu sentiasa bermula dengan perkara yang menarik minat seseorang suri rumah tersebut.

Seperti contoh sekiranya seseorang itu minat dengan barangan kosmetik dan kecantikan, jadikan ia sebagai satu subjek dalam fotografi seharian. Atau sekiranya lebih minat dengan gambar bercorak portret, ia boleh dimulakan dengan merakam gambar ahli keluarga. Malahan kini terdapat banyak peranti yang turut mempunyai Mod Portret jadi ia sekaligus boleh membantu suri rumah dalam merakam gambar terbaik dan lebih penting lagi, merakam gambar walau apa jua subjek yang boleh menggembirakannya. 

Jangan Takut Mencuba Sesuatu Yang Baharu

Berbekalkan belasan tahun dalam industri, Ahady dan Shaz bersependapat yang mana penggiat kreatif tidak perlu takut dalam mencuba sesuatu yang baharu. Meskipun akan terdapat pandangan yang mana karya tersebut mungkin telahpun dilakukan oleh pengkarya yang lain, ia tidak seharusnya menjadi satu penghalang untuk anda berkarya. 

Malah bagi pasangan ini juga, terdapat satu tempoh dimana mereka melalui satu fasa senyap tanpa sebarang karya disebabkan mereka menimang cahaya mata kedua, akan tetapi sebaik sahaja fasa tersebut berlalu, mereka kembali dengan subjek baru, dan tanpa disedari cabaran tersebut menjadi inspirasi mereka untuk kembali bangkit.

Untuk tahun hadapan, Ahady dan Shaz berharap lebih banyak hasil karya mereka dapat dikongsikan menerusi acara-acara industri kreatif tempatan dan lebih ramai penggiat kreatif dari Malaysia akan dijemput berkongsi di acara Adobe MAX 2021. 


Bagi anda yang terlepas sesi Ahady & Shaz iaitu Tips Fotografi Peranti Mudah Alih sewaktu acara Adobe MAX 2021, anda boleh menonton rakaman perkongsian mereka disini. Mereka turut berkongsi mengenai cara-cara mereka mendapatkan subjek, dan juga bagaimana suntingan gambar dilakukan menggunakan Adobe Lightroom dan Adobe Photoshop.

komen


© Amanz / 2022 Kami