Selepas China mengharamkan penggunaan kriptowang dan sebarang bentuk pelombongan kripto di negara mereka, ramai pemilik operasi mula berpindah ke negara jiran. Kazakhstan ialah salah satu negara yang secara tiba-tiba mempunyai kemasukan pelombong kripto dari China dan akibatnya negara yang terkenal kerana Borat ini mengalami masalah bekalan elektrik.
Grid tenaga nasional Kazakhstan tidak mampu menanggung keperluan tenaga dari pelombong sehingga bekalan elektrik terputus. Dengan keperluan tenaga meningkat ketiga musim sejuk, kerajaan Kazakhstan kini mula mencatu bekalan elektrik kepada pelombong kripto yang berlesen. Dianggarkan sebanyak 87,849 mesin melombong memasuki Kazakhstan dari China sekaligus meningkatkan keperluan bekalan elektrik negara sebanyak 8%. Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding peningkatan purata tahunan 2% sebelum ini.
Catuan bekalan elektrik akan menjejaskan bukan sahaja operasi melombong tetapi pendapatan negara yang mengenakan cukai ke atas operasi pelombong. Kazakhstan berada di tangga kedua dengan jumlah pelombong kripto terbesar di belakang Amerika Syarikat. Kepada pelombong yang ingin mencari lokasi baharu, mungkin mereka sudah boleh merancang ke El Salvador yang akan membina Bitcoin City sebagai pusat pelombongan kripto terbesar dunia.
Sumber Eurasianet