Cari @ Amanz

DJI ialah jenama nombor satu dalam pasaran dron dunia. Boleh dikatakan merekalah yang mempopularkan penggunaan dron di kalang pengguna biasa sejak sedekad yang lalu. Google pula ialah syarikat teknologi besar yang menghasilkan peranti Pixel untuk pengalaman perisian Android yang terbaik. Malang sekali bagi pemilik Google Pixel 6 dan Pixel 6 Pro, mereka tidak boleh menggunakannya untuk mengawal dron keluaran DJI.

Aplikasi DJI Fly tidak mampu memaparkan visual dari kamera ke skrin peranti apabila digunakan pada peranti Pixel 6 dan Pixel 6 Pro. Isu dilaporkan oleh pemilik Mavic Mini, Mavic Air 2, Mini 2, DJI FPV, Air 2S, Mini SE, dan Mavic 3. Yang menimbulkan kemarahan pemilik ialah pihak DJI menyarankan mereka untuk menggunakan telefon pintar lain untuk mengawal dron. Selepas dikecam pengguna, DJI mengubah pendirian mereka dan berkata kemas kini sedang diusahakan tetapi tiada tarikh diberikan.

Ketidaksersian aplikasi DJI Fly dan peranti Pixel 6 ini adalah mengecewakan kerana sebelum ini tiada isu berlalu pada peranti Pixel yang lain. Pixel 6 dan Pixel 6 Pro bukanlah peranti murahan dari pengeluar yang tidak ternama. Apakah penyebab isu ini berlaku belum lagi didedahkan tetapi jika anda pemilik dron DJI dan ingin membeli Pixel 6, anda perlu menyedari isu besar yang akan dihadapi.

Sumber Drone DJ

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd