#HP

Siri Mesin Pencetak HP Smart Tank 700 Memudahkan Proses Pencetakan Sepanjang Masa

Diterbitkan pada Nov 30, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Salah satu daripada kelengkapan IT yang pada mulanya dilihat menurun penggunaannya, tetapi meningkat sepanjang dua tahun ini ialah mesin pencetak. Oleh kerana kebanyakan kerja dan pelajaran berlaku di rumah kebelakangan ini, peranti tersebut mempelihatkan peningkatan pemilikan juga.

HP Malaysia hari ini memperlihatkan dua buah model mesin pencetak baru dibawah siri HP Smart Tank 700, yang terdiri daripada model HP Smart Tank 720 dan HP Smart Tank 750 yang menggabungkan teknologi pencetakan berkualiti tinggi, kuantiti besar dan juga ciri-ciri tambahan yang membuatkannya salah satu siri mesin pencetak yang paling mesra pengguna dan alam di pasaran sekarang.

Bermula dengan rekaan mesin pencetak ini, HP mengatakan bahawa 25 peratus daripada binaannya dibangunkan menggunakan bahan yang dikitar semula. Pemasangan peranti ini juga mudah dilakukan dengan bantuan perisian pemandu ataupun aplikasi HP Smart App yang bermakna anda tidak perlu menggunakan komputer untuk mula menggunakan mesin pencetak ini.

Oleh kerana ini adalah mesin pencetak semua-dalam-satu, mesin-mesin pencetak ini hadir dengan kemampuan mengimbas dokumen dan fotostat, Model Smart Tank 750 juga hadir dengan fungsi tambahan Automatic Document Feeder dimana ia boleh mengambil jumlah kertas yang diperlukan dan mencetak dokumen dengan kadar yang lebih pantas.

Dalam pada itu, kedua-dua mesin pencetak ini hadir dengan fungsi auto-duplex juga yang mana ia merupakan ciri mencetak di kedua-dua halaman mukasurat kertas tanpa memerlukan input manual oleh pengguna.

Ia juga hadir dengan fungsi WiFi terbina, yang bermakna anda boleh mula mencetak dokumen dengan cepat dan mudah tidak kira dimana anda berada, asalkan komputer ataupun peranti anda, dan mesin pencetak ini disambungkan ke rangkaian internet.

HP turut mengatakan bahawa tangki dakwat mesin pencetak HP Smart Tank 700 hadir dengan kemampuan untuk mencetak 6000 cetakan berwarna berkualiti tinggi dan 8000 cetakan hitam dan putih yang sama. Pengguna akan dapat melihat tahap dakwat dalam tangki secara senang melalui panel di hadapan, dan proses pengisian semula tangki cukup mudah sekali dimana pengguna tidak perlu risau akan dakwat mengotori mesin pencetak ataupun permukaan meja.

Malah, HP mengatakan bahawa kepala pencetak boleh ditukar oleh pengguna sendiri sekiranya perlu, dan pengguna boleh mendapatkannya dari HP tanpa masalah.

HP Malaysia mengatakan bahawa mesin pencetak HP Smart Tank 720 dan Smart Tank 750 ini boleh didapati di gedung atas-talian HP Malaysia, ataupun di kedai atas talian mereka di Shopee dan Lazada pada harga RM1069 untuk model Smart Tank 720 ataupun RM1299.

komen


© Amanz / 2022 Kami