iPhone adalah antara telefon pintar premium yang terbaik dan paling popular. Lihat sahaja tahun ini, siri iPhone 13 yang mempunyai permintaan tinggi sehinggakan sukar untuk dibeli kerana stok kerap habis. Dengan Apple meneruskan corak melancarkan empat peranti sekali gus dan tahun ini sekali pandang siri iPhone 13 dan siri iPhone 12 kelihatan lebih kurang sama – iPhone mana satukah sesuai untuk anda?
Jika anda inginkan peranti yang Impak Maksima anda boleh pilih iPhone 13 Pro Max. Ia mempunyai kemampuan yang anda tidak boleh sangka sebuah telefon pintar mampu. Jika tidak, percayalah iPhone 13 sudah memadai. Tetapi untuk siapa? Pengguna iPhone 12? iPhone 11? atau yang lebih lama?
Ini adalah artikel ulasan iPhone 13 daripada pengguna setia Android dan bekas pengguna iPhone 12 Mini.
Spesifikasi Dan Rekaan
iPhone 13 | |
---|---|
Skrin | 6.1-inci, Super Retina XDR OLED 2532 x 1170-piksel, 460 ppi HDR, 60Hz |
Pemproses | A15 Bionic (5nm+) |
Cip | 2-teras Avalanche 4-teras Blizzard >3.2GHz |
Cip Grafik | GPU Apple 4-teras |
RAM | 4GB RAM |
Muatan Dalaman | 128/256/512 GB NVMe |
Kamera Utama | 12 MP, f/1.6 (wide) dual pixel PDAF, sensor-shift OIS 12 MP, f/2.4, 120˚, (ultrawide) Photographic Styles, Deep Fusion Portrait Lighting, Mod malam, Mod potret |
Kamera Swafoto | 12 MP, f/2.2 |
Bateri | 3240 mAh Berwayar, sekitar 20W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano+eSIM |
NFC | Ya |
Bicu Audio | Tiada |
Kalis Air | IP68 |
Sistem Imbasan | FaceID |
Harga Jualan | 128GB – RM3,899 256GB – RM4,399 512GB – RM5,299 |
Apple iPhone 13 ketika dilancarkan, di atas pentas tidak ada apa pun yang membuatkan saya teruja. Peminat fotografi mungkin akan rasa wow, tetapi pengguna biasa mungkin tidak akan rasa ada benda baru antara iPhone 12 dan iPhone 13. Rekaan pada mulanya, masih kelihatan sama kecuali pada bonggol kamera. Lain-lain seperti sisi yang rata, skrin dan panel belakang rata, semuanya masih sama.

Takuk ada sedikit perubahan, ia semakin kecil. Boleh nampak bezanya kalau sudah biasa dengan takuk iPhone X iPhone 13 saiz takuk nampak lebih tenang dan lega. Bonggol kamera belakang berbeza kerana penggunaan sistem kamera yang setaraf iPhone 12 Pro iaitu Sensor-Shift. Sensor yang digunakan masih sama lagi 12MP, tetapi untuk sudut lebar adalah f/1.6 dan sudut ultra-lebar pula adalah f/2.4 dengan kamera swafoto 12MP f/2.2.

Peranti ini menggunakan skrin OLED Super Retina XDR bersaiz 6.1-inci dengan sokongan HDR dan kadar segar semula 60Hz. Dipadankan pula dengan cip Apple A15 Bionic bersama RAM 4GB dan storan dalaman NVMe mencapai 512GB. Bateri peranti adalah 3240mAh sahaja dengan pengecasan sekitar 20W bersama sokongan pengecasan nirwayar dan MagSafe mencapai 15W.
Peranti ini mempunyai perlindungan IP68 dan menjalankan iOS 15 yang terkini. iPhone 13 adalah sebuah peranti fotografi bertaraf mercu yang boleh didapati pada harga yang sebenarnya masuk akal dan patut dibeli.
Penggunaan Dan Perisian
Pertama sekali, skrin iPhone 13 – Fuhhhh!!!! Dahsyat! Ia mempunyai kecerahan yang amat terang. Mencukupi sahaja untuk penggunaan di bawah cahaya matahari terik, kerana untuk diri saya – di luar hanya sekadar menyemak notifikasi penting atau membaca mesej penting sahaja. Lain-lain yang asas saya gunakan Apple Watch.
Untuk kualiti skrin yang cantik ini, ia juga cukup memenuhi syarat telefon kompak untuk hiburan. Menonton Netflix dengan sokongan Dolby Vision yang memberikan hasil warna yang lebih tajam, definisi yang lebih nyata dan warna yang lebih dalam.
Apabila Apple memaklumkan yang iPhone 13 Pro dan 13 Pro Max menyokong ProMotion iaitu kadar segar semula 120Hz adaptif – tetapi tidak ditawarkan pada iPhone 13 dan iPhone 13 Mini adalah perkara yang mengecewakan. Jika sebelum ini, 60Hz pada iPhone rasa lancar sahaja dan puas untuk gunakan. Saya yang sudah biasa dengan 90Hz/120Hz pada Android boleh selesa dengan iPhone 12 Mini – iPhone 13 rasa terus aneh dan perlahan.
Persepsi minda saya yang sudah tahu ada iPhone hadir dengan skrin laju tetapi tiada pada iPhone yang saya sedang gunakan, 60Hz rasa sangat perlahan. Saya boleh bezakan dengan jelas iPhone ini perlahan ketika menatal, peralihan animasi boleh nampak dan rasa bosan.

Kekurangan iPhone di iOS masih lagi multi-tugasan seperti dwi-tetingkap. Tetapi apabila saya sedar kembali pengalaman penggunaan Android, hanya skrin berlipat seperti Z Fold2 sahaja yang saya manfaatkan mulTI-skrin. Jadi tiada di iPhone rasa tidak menjadi masalah asalkan proses bertukar-tukar antara aplikasi pantas dan tidak tergendala.
Berpuluh aplikasi buka dan banyak yang berjalan di latar, iPhone masih lagi peranti terbaik dalam pengurusan memori dan penggunaan memori. 4GB RAM masih mencukupi dan berkuasa untuk sebuah iPhone. Tambahan dengan iOS 15 yang semakin matang dan bertambah seronok untuk menggunakan peranti Apple.

iPhone 13 dengan iOS 15 boleh menggunakan fungsi SharePlay, iaitu FaceTime dengan semua orang termasuk pengguna Android. Kemudian dengan SharePlay, pengguna iOS boleh strim Apple Music dan Apple TV+ bersama termasuk dengan banyak aplikasi lain lagi. Produktiviti iOS mungkin bukan pada multi-skrin tetapi ia sudah dibina untuk sesuai dengan produktiviti.
Contoh lain adalah penggunaan widget yang sangat efisien dan memudahkan pengguna. Banyak maklumat yang ingin dilihat dengan pantas dapat dipaparkan, mesra pengguna dan “hidup”. Ia ringkas dan mudah digunakan dan sesuai untuk pelbagai gaya hidup tidak kira penggunaan biasa atau penggunaan profesional.

Dengan iOS 15 terdapatnya mod Focus, ia adalah profil automatik yang boleh menggunakan tetapan berbeza ketika memandu, bekerja, atau bersahaja. Ia aneh pada awalnya, tetapi lepas berminggu barulah rasa selesa dan lebih memahami cara penggunaan.
iPhone 13 secara keseluruhan memberikan pengalaman penggunaan yang selesa, mudah dan berfungsi untuk apa yang patut berfungsi. Ia menawarkan apa yang patut pengguna gunakan tanpa gimik karut yang hanya acah untuk takutkan pesaing.
Prestasi Dan Skor Penanda Aras
GPU pada iPhone 13 iaitu GPU Apple tersendiri sentiasa menjadi misteri apakah kemampuannya dan padu tahap mana? Tidak perlu tanya soalan itu kalau sudah terbukti Snapdragon 888+ pun tidak mampu tewaskan A15 Bionic. Cip pada iPhone bukan sahaja berkuasa, tetapi efisien dan bijak mengawal suhu.
Bermain permua pada iPhone 13 adalah sangat memuaskan tanpa risau akan masalah memanas. Asphalt 9 antara permua kegemaran saya boleh main dua jam tanpa henti kerana tidak rasa bosan dan sentiasa lancar. Untuk bersahaja PUBG Mobile pun kadangkala saya main dan ia masih membuatkan saya rasa kagum dengan iPhone. Genshin Impact pun masa memuat di iPhone sangat pantas.

iPhone 13 menerima skor 816,065 di AnTuTu dan 1723/4639 di Geekbench 5. Ini adalah ujian dengan aksesori kipas penyejuk digunakan untuk capai tahap optimum. Skor ini adalah sangat tinggi dan mengejutkan. Benar kaedah mengira skor sistem iOS dan Android berlainan – tetapi dua sistem itu sendiri berlainan. Walaupun ia hanya nombor, nombor ini terbukti di dunia nyata yang iPhone 13 adalah iPhone yang berkemampuan tinggi.

Telefoni Dan GPS
Penggunaan data mudah alih pada iPhone jarang sekali mendatangkan masalah. Walaupun kadangkala lebih perlahan daripada peranti Android, dari segi kestabilan iPhone 13 adalah yang paling stabil. Turut menyokong VoLTE yang memudahkan pengguna bersama kualiti panggilan telefon yang jelas dan terbaik. Mikrofon peranti tiada masalah merakam suara dengan terang.
GPS juga antara terbaik tanpa masalah mengunci lokasi serta mencari arahan selok-belok. Jika sedang mengulas peranti Android dan tidak ingin menggunakan GPS pada Android, iPhone 13 adalah peranti pilihan saya untuk navigasi.
Kamera
Apple adalah di antara pengeluar peranti yang masih membuktikan megapixel bukan penentu kualiti kamera yang hebat. Apa yang penting adalah teknologi di sebalik sensor dan algoritma yang digunakan oleh peranti ketika pasca-proses. Kedua-dua kamera pada belakang peranti iPhone 13 adalah daripada sensor 12MP. Sensor sudut lebar hadir dengan bukaan f/1.6, manakala satu lagi adalah untuk sudut ultra lebar dengan bukaan f/2.4.
Pada sensor utama, ia adalah sensor jenis Sensor-Shift iaitu teknologi penstabilan optik Apple tersendiri. Mod bokeh, kesan pencahayaan bokeh, mod malam, Deep Fusion, semuanya masih dikekalkan dengan penambahan Photographic Styles iaitu preset kawalan auto seakan pada kamera untuk memudahkan pengguna ambil gambar dengan citarasa tersendiri tanpa suntingan yang ekstrem.

Untuk video turut ditawarkan adalah mod Cinematic iaitu rakaman video dengan kesan bokeh, rakaman pada kualiti Dolby Vision 4K 60FPS, serta rakaman video dengan stabil.
Kamera hadapan juga adalah 12MP dengan teknologi TrueDepth untuk FaceID. Sensor adalah dengan bukaan f/2.2 dengan sokongan mod bokeh, mod malam, Animoji/Memoji, serta rakaman video Cinematic.


Kualiti kamera swafoto peranti ini adalah antara yang terbaik. Algoritma tidak menjadikan kulit terlampau lembut, butiran berjaya dipelihara dengan baik sambil warna yang dihasilkan adalah hidup dan terang. Kesan bokeh juga semakin kemas, tetapi mengikut situasi kadangkala ia tidak mampu kendali rambut yang serabut atau latar belakang yang ada banyak objek atau corak rumit.



Kamera belakang sebenarnya sekali lihat seakan tiada beza pun dengan iPhone 12 Mini. Tetapi mod Photographic Styles menjadikan pengalaman fotografi lebih menarik. Dengan pelbagai preset setiap gambar boleh diubahsuai dengan pantas mengikut situasi atau tema.



Kemampuan sudut ultra lebar dan jarak dekat juga adalah sangat bagus. Warna semuanya tajam, butiran boleh dilihat dengan jelas dan senang hati melihat. Agak mengecewakan yang peranti ini tiada mod makro dan terhad pada iPhone 13 Pro sahaja. Tetapi sudah crop pun hasil masih menarik dan sesuai sahaja untuk dijadikan gambar latar. Mod malam kali ini Apple berjaya menarik perhatian saya dan hasilnya lebih hebat tidak begitu terang dan masih realistik. Masa proses juga pantas dan memuaskan.





Perubahan lain pada iPhone 13 yang akan jelas ada beza di antara iPhone 12 adalah kemampuan rakaman video. Mod cinematic sebenarnya tidak hebat mana. Ia hanya video bokeh yang sudah banyak peranti Android tawarkan. iPhone juga tidak kemas, cuma kualitinya konsisten. Penstabilan adalah yang paling memuaskan untuk video pada iPhone 13 ini yang mampu menghasilkan rakaman tahap pro walaupun digunakan oleh pengguna biasa tanpa aksesori.
Audio
Masih ada masalah sama pada iPhone 12 sebelum ini, audio stereo pada peranti ini tidak cukup seimbang. Tetapi untuk telefon pintar kelas mercu dengan sistem audio seperti ini, iPhone 13 tidak dinafikan mempunyai kualiti audio yang baik. Ia menyokong Dolby Atmos tanpa sebarang masalah, cukup kuat dan lantang dan hasil audio yang penuh dengan definisi.
Peranti iPhone juga mesra dengan DAC/AMP mudah-alih untuk kawalan aras suara. Tambatan aksesori Bluetooth 5.0 juga mudah dengan sambungan pantas dan sela masa rendah jika ingin lebih privasi dalam pendengaran audio.

Sepanjang penggunaan iPhone 13, pemebsar suara peranti ini tidak mengecewakan dan akan memastikan semua pemilik bahagian dan menerima seadanya.
Bateri
Jarang, tetapi sejak kebelakangan ini – selalu. iPhone kini adalah antara telefon pintar dengan bateri terbaik. Saya mula sedari sejak iPhone 12 Min tahun lepas, ia boleh bertahan penuh satu hari dan kadangkala boleh bertahan sehingga dua hari. Itu baru model mini dengan penggunaan biasa.
Sejak menggunakan iPhone 13, malas hendak cakap lebih – dengan mudah saya nobatkan peranti ini tiada masalah untuk bertahan sehingga 2 hari dengan penggunaan ringan. Jika setakat media sosial, sedikit kamera, sedikit audio dan video – peranti ini Subuh 100% boleh tahan sehingga Subuh esoknya dengan baki 10%. Biasanya pagi akan saya pastikan penuh dan malam pasti akan ada lebih 30% sebelum tidur.

SOT 9-11 jam tiada masalah dengan penggunaan ekstrem pun 7-8 jam.
Pengecasan 20W bukanlah yang paling pantas. Tetapi juga buat pertama kalinya, saya menggunakan peranti iOS dan Android saya miliki peranti Android yang perlu dicas sehari dua kali dan lebih perlahan daripada iPhone. Peranti ini adalah Pixel 6. iPhone 13 boleh cas 0%-100% dalam masa 1 jam 45 minit, Pixel 6 adalah sekitar 2 jam.
Pesaing
iPhone 13 | Galaxy Z Flip3 | OnePlus 9 |
6.1-inci, Super Retina, XDR OLED, 2532 x 1170 piksel, 460 ppi HDR, 60Hz | 6.7-inci Foldable Dynamic AMOLED 2X, 1080 x 2640 piksel, 426 ppi HDR10+, 120Hz | 6.55-inci Fluid AMOLED 120Hz, FHD+, 1080 x 2400 piksel, 402 ppi HDR10+, 120Hz |
A15 Bionic (5nm+) 2-teras Avalanche 4-teras Blizzard >3.2GHz | Snapdragon 888 (5nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 | Snapdragon 888 (5nm) 1 x 2.84 GHz Kryo 680 3 x 2.42 GHz Kryo 680 4 x 1.80 GHz Kryo 680 |
Apple GPU 4-Teras | Adreno 660 | Adreno 660 |
4GB RAM 128/256/512 GB NVMe | 8GB RAM 128/256 GB UFS 3.1 | 6/8 GB RAM 128/256 GB UFS 3.1 |
12 MP, f/1.6 (sudut lebar) Dual Pixel PDAF, sensor-shift OIS 12 MP, f/2.4, 120˚, (sudut ultra-lebar) | 12 MP, f/1.8, (sudut lebar), Dual Pixel PDAF, OIS 12 MP, f/2.2, 123˚ (sudut ultra-lebar) | 48 MP, f/1.8, (sudut lebar), omnidirectional PDAF 50 MP, f/2.2, (sudut ultra-lebar), 2 MP, f/2.4, (monokrom) |
12 MP (f/2.2) | 10 MP (f/2.4) | 16 MP (f/2.4) |
NFC Bluetooth 5.0 | NFC, Samsung Pay Bluetooth 5.1 | NFC Bluetooth 5.1 |
Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
3240 mAh Pengecasan pantas sekitar 20W | 3300 mAh Pengecasan 15W | 4500 mAh Pengecasan pantas 65W |
128GB – RM3,899 256GB – RM4,399 512GB – RM5,299 | 128GB – RM3,999 256GB – RM4,199 | RM2,099 (8/128 GB) RM2,359 (12/256 GB) OnePlus Global |
Kesimpulan
iPhone 13 adalah antara iPhone terbaik. Jika anda pengguna iPhone 12 Mini, naik taraf kerana bateri dan kamera, jika pengguna iPhone 11 dan ke bawah – naik taraf untuk kepuasan berganda. Pengguna Android pula, saya amsih sarankan cuba versi mini terlebih dahulu dan jika belum 13 adalah permulaan baik.
Pengalaman penggunaan iPhone 13 tidak akan mengecewakan kerana skrin yang cerah dan cantik, bateri yang tahan lama, prestasi yang gila hebat, kamera yang hebat di tahap Pro tetapi BBNU boleh tangkap gambar dan tunjuk lagak.

Jika kita lihat peningkatan harga telefon mercu Android yang semakin mendadak, kemampuan rakaman video Android yang masih lemah dan prestasi – iPhone 13 masih mampu milik dan memenuhi setiap aspek kenapa seseorang wajib ada telefon pintar.
Pro
- Kamera yang hebat dan menggiurkan.
- Bateri yang tahan lama.
- Prestasi yang pantas tiada tandingan.
- Saiz yang kecil dan sedap sahaja di tangan.
Kontra
- Skrin tidak menyokong kadar segar semula tinggi.
- Masa pengecasan masih perlahan.
- Masih Lightning berasaskan USB 2.0.
- Sukar untuk beli.
